LIGA PREMIER 2021: Sarawak United terajui liga

SKUAD Sarawak United FC (SUFC) menerajui takhta Liga Premier 2021 setelah menumbangkan Perak FC II 3-0 dalam aksi di Stadium Perak petang Rabu.

Bintang penyerang dari Nigeria, Uche Agba meledakkan dua gol (minit ke-76 dan 81), manakala satu lagi gol disumbangkan oleh penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha (minit ke-36).

Dengan kemenangan itu, SUFC kini menguasai carta liga dengan enam mata, setelah melakar dua kemenangan berturut-turut. Dalam aksi pertama, mereka menang 2-0 ke atas Kelantan United.

Bagi jurulatih SUFC, E. Elavarasan kemenangan tersebut, cukup berharga bagi meneruskan perjuangan selepas ini.

“Sebelum perlawanan kita agak risau, kerana sudah lama tidak main petang, berbanding Perak yang sudah pun beraksi petang dalam aksi pertama.

“Namun, pengalaman memberi perbezaan. Perak dibarisi majoriti pemain muda,” jelas Evalarasan.

“Kita agak bergelut pada awal saingan, dan cuba mencari jalan untuk memecah benteng mereka… akhirnya kita barjaya, terutama pada babak kedua,” ujarnya.

Beliau berpuas hati dengan prestasi para pemain dalam dua perlawanan yang telah ditempuhi. Malah, yakin peningkatan akan terus berlaku dalam perlawanan seterusnya.

Kesebelasan utama SUFC petang semalam ialah Sharbinee Allawi, Reuben Thayaparan, Taylor Regan, Muhammad Zahril, Tommy Mawat, Norshahrul Idlan Tahala, Mohd Badrul Affendi, Chang Hoon Lee, Uche Agba, Gopi Rizqi dan Abdul Rahim Abdul Razak. Terdapat sedikit perubahan, daripada kesebelasan utama dalam aksi pertama.

SUFC akan menentang Kuching City FC 16 Mac di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Suara Sarawak