LIGA PREMIER 2021: S’wak United dirombak

JURULATIH Sarawak United FC (SUFC), E. Elavarasan akan melakukan rombakan dalam kesebelasan utama menjelang aksi menentang Negeri Sembilan di Paroi Sabtu ini.

“Banyak faktor teknikal yang perlu diperbaiki lebih-lebih lagi apabila empat tonggak utama mengalami kecederaan.

“Kita belum tahu tahap kecederaan mereka tetapi bahagian tengah dan pertahanan perlu membuat pembahagian baharu dan sedikit rombakan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak semalam.

Menurut Elavarasan, bahagian pertahanan perlu diperbaiki segera, kerana ia dilihat sebagai punca SUFC kalan 2-0 kepada PDRM FC Jumaat lalu.

“Kita tidak mahu mengulangi kekalahan yang sama akibat pertahanan longgar.

“Pemain yang cedera masih menunggu keputusan ujian imbasan,” jelasnya. Yang pasti, SUFC akan turun tanpa kesebelasan pilihan.

Elavarasan menjelaskan bahawa mereka tidak akan memperjudikan pemain, kerana saingan masih panjang.

“Kita harus memikirkan kesihatan pemain dan kita tidak pentingkan diri,” katanya lagi.

SUFC gagal menunjukkan aksi yang diharap-harapkan Jumaat lalu.

Menurut Elavarasan, bahagian tengah dan pertahanan agak longgar menyebabkan PDRM FC menguasai pentas saingan.

Namun SUFC masih lagi menguasai carta Liga Premier dengan kelebihan dua mata.

 

Suara Sarawak