
KUCHING: Dua bintang import baharu Kuching City FC (KCFC) dijangka tiba minggu depan.
Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandi Ali Hassan berkata seorang daripadanya ialah pemain pertahanan, Yuki Tanigawa dari Jepun.
“Beliau akan mula menyertai kem latihan minggu depan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Manakala, katanya seorang lagi ialah penyerang dari Sweden, namun tidak mendedahkan namanya.
“Beliau masih dalam proses mengurus beberapa perkara ketika ini,” katanya.
Skuad KCFC yang mula menjalani latihan pada 20 Disember lalu akan menjelajah ke ibu negara untuk mengharungi empat perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi Liga Premier 2022.
Tiga pasukan Liga Super yang akan ditentang ialah Selangor FC, PJ City serta Negeri Sembilan FC.
Satu lagi perlawanan mungkin membabitkan kelab yang beraksi dalam Liga M3.