KUCHING: Jentera skuad Kuching City FC (KC FC) dijangka lebih mantap dalam mengharungi kempen Liga Premier 2022.
Ia berikutan kemasukan enam pemain muda dari skuad pelapis (KC FC II) dalam barisan kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.
Pemain terbabit ialah Mohamad Nur Raziman Razali, 23 (Serian/Tengah), Azuanie Jasman, 22 (Kuching/Pertahanan), Zulikhsan Salleh, 22 (Kuching/Tengah), Mohd. Badrul Hisham Mohamad Hussien, 23 (Kuching/Pertahanan), Azzam Marzuk Saffriy, 23 (Samarahan/Pertahanan) dan Mohd. Alauddin Farid Atan, 22 (Samarahan/Tengah).
Pengurus KC FC, Kamaluddin Akil memberitahu, kesemua enam pemain terbabit telah menunjukkan aksi yang diharapkan sepanjang beberapa minggu mengikut latihan.
Justeru, telah ditawarkan kontrak selama setahun oleh pihak pengurusan KC FC dan majlis menandatangani kontrak tersebut berlangsung tengahari tadi.
“Kita yakin kemasukan pemain muda ini akan memberi impak yang diharapkan.
“Dengan kata lain, mampu menjadi tonik tambahan di beberapa posisi penting,” jelas Kamaluddin kepada Arena Suara Sarawak.
