KUCHING: Skuad Kuching City FC (KC FC) berazam mahu meneruskan rentak kemenangan apabila turun berdepan UiTM FC di Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok.

Masih segar dengan prestasi hebat ketika menumpaskan skuad Projek FAM-MSN (3-0) minggu lepas, diharap aura itu dapat terus dikekalkan.
Ketua jurulatih KC FC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui, bukan tugas yang mudah walaupun beraksi di laman sendiri kerana pasukan pelawat juga semahunya tampil untuk membuat kejutan.
“Memang tiga mata menjadi buruan kita untuk perlawanan malam esok. Namun, saya percaya pemain akan diberi tentangan sengit,” ujar Irfan.
Menurut Irfan, beliau berharap pemainnya tidak terlalu ghairah untuk melancar serangan ke kubu pelawat.
“Apa yang penting, mereka perlu kekal fokus sepanjang saingan, elak melakukan kesilapan mudah kerana mungkin akan mengundang padah,” tambah Irfan lagi.
The City Boys kini menghuni tangga ke-4, menggumpul 24 mata selepas mengharungi 14 perlawanan setakat ini.