SERIAN: Skuad Gedong Unity memuktamad kedudukan mereka selepas mara ke suku akhir Liga Serian 2023.
Barisan kendalian jurulatih berpengalaman luas Rozaini Romainor, berjaya mencatat kemenangan selesa (4-1) ke atas MK FC pada aksi terakhir Kumpulan C di Kompleks Sukan Serian hari ini.
Harmilrudin Mohamad muncul wira Gedong Unity apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-2, 7 dan 55. Sambil gol keempat dijaringkan oleh Izan Abdillah pada minit ke-78.
“Gembira dengan kemenangan yang diperoleh pemain dan paling penting, kita berjaya mara ke suku akhir,” ujar Rozaini kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau akui, pemain berjaya menterjemah strategi yang diguna pakai sepanjang perlawanan.
Kegembiraan sama turut dikongsi pengurus pasukan, Mohd. Nidzam Adzhar Ashaari kerana barisan pemain berjaya mengekal fokus sepanjang saingan.
“Memang pemain diberi tentangan sengit, namun mereka berjaya mengatasi masalah tersebut,” tegasnya.
