LIGA SSC-FAS 2021: Kapit FA menang bergaya

SKUAD Kapit FA menutup saingan pusingan pertama dengan langkah bergaya, membenam Sarikei 3-0 dalam aksi di Liga SSC-FAS 2021 Stadium Mini Song baru-baru ini.

Gol-gol Kapit dijaringkan oleh Gilbert Dominic Rungom, Mohamad Mercelino dan Rosicky Stanley pada minit ke-40, 50 dan 65.

Ia merupakan kemenangan kedua buat anak-anak buah Pendi Bohari (jurulatih), sekali gus berpeluang untuk menempah tiket ke pusingan seterusnya. Minggu lalu mereka mengalahkan Sibu 1-0.

“Syabas dan tahniah kepada para pemain kerana berjaya memastikan tiga mata milik kita,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kapit (KAPFA), Nicol Agoi kepada Arena Suara Sarawak.

“Kerja keras sepanjang perlawanan antara faktor kemenangan ini.

“Pada masa yang sama pemain bijak memanfaatkan peluang yang terhidang,” ujar Nicol.

Suara Sarawak