KUCHING: Pengurus Kuching City FC II (KC FC II), Awang Azemi Awang Idris menegaskan, pasukannya akan cuba mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Liga Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) – Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) 2021.
Meskipun ketiadaan empat tonggak utama iaitu Amir Amri Salleh, Amirul Iqmal Bolhi, Wan Badzreen Wan Yusuf dan Diego Baggio Test yang masih dipinjam kudrat mereka bersama skuad senior (KC FC) untuk menghadapi saingan Piala Malaysia 2021.
Sebaliknya kata Awang Azemi, mereka yakin dengan pemain simpanan yang ada untuk mengambil alih tugas diposisi sedia ada.
“Kita tidak bimbang dengan ketiadaan kesemua empat pemain ini kerana rakan mereka yang lain mampu mengambil alih tugas diposisi tersebut apabila diberi kepercayaan beraksi,” ujar Awang Azemi kepada Arena Suara Sarawak.
Tambahnya, semua pemain yang berada dalam skuad musim ini berbakat serta berpengalaman.
Justeru katanya, pemain setentunya akan cuba mengekal kelebihan yang ada dan apa yang penting mereka perlu lebih fokus dalam menghadapi perlawanan sebenar kelak.
The City Boys Junior ketika ini masih gah mengungguli kedudukan teratas Zon Selatan dengan menggumpul 9 mata.
Menamatkan saingan pusingan pertama tanpa sebarang kekalahan dari tiga perlawanan setakat ini.
Aksi pusingan kedua bermula 6 November depan dan KC FC II akan menentang Samarahan di Stadium Mini Unimas, Kota Samarahan.
ENDS/…