
KUCHING: Penampilan skuad Kuching City FC (KC FC) dalam kempen Liga Super 2023 bakal tampak lebih mantap.
Dengan kehadiran tiga pemain import baharu berbeza posisi, ia merangkumi Kuziev Sirojiddin Salohiddin, 27 (tengah/Uzbekistan), Mihailo Jovanovic, 34, (pertahanan/Serbia) dan Ferreira Dos Santos Celio, 36, (pertahanan/Timor Leste).
Ketiga-tiga pemain import terbabit tiba di Kuching malam tadi dan terus menyertai kem latihan bersama-sama pemain lain pada sebelah petang.
Presiden Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman berharap kehadiran tiga pemain import terbabit akan dapat menambah tonik di posisi berbeza.
“Saya yakin dengan kehadiran mereka, ia akan dapat menambah kekuatan untuk pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim bagi menghadapi saingan kempen Liga Super 2023,” katanya pada sidang media selepas menandatangani kontrak barisan pemain terbabit di pejabat Kuching City FC, di sini, hari ini.
Menurut Fazzrudin, kesemua pemain import baharu itu ditawarkan kontrak setahun.
“Ada dua lagi pemain import baharu kita, mereka akan tiba di Kuching dalam sehari dua lagi,” tambah Fazzrudin yang turut menegaskan salah seorang pemain terbabit merupakan tonggak utama skuad kebangsaan negara kelahirannya.
Skuad KC FC selepas berakhir kempen Liga Premier 2022 hanya mengekalkan dua pemain import sedia ada iaitu Abu Kamara (penyerang/Liberia) dan Yuki Tanigawa (pertahanan/Jepun).