Trending

Liga Super: Kedah optimis catat kemenangan bertemu Perak hari ini

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Mohd Nafuzi Mohd Zain yakin pasukannya berada di landasan yang terbaik untuk mencatat keputusan positif pada pertemuan menentang Perak FC, malam ini.

Beliau berkata kemenangan ke atas Sabah FC Jumaat lepas serta kembalinya pemain pertahanan yang meningkat naik, Muhamad Kamil Akmal Abd Halim yang digantung akibat dilayangkan kad merah ketika bertemu Selangor sebelum ini, meningkatkan lagi semangat dan moral pasukan.

“Dari segi persiapan semua dalam keadaan baik dan tiada pemain yang cedera, jadi di situ kita dapat turunkan semua pemain yang terbaik malam esok untuk bertemu Perak.

Kelegaan kita apabila Kamil yang digantung permainan akibat layangan kad merah tempoh hari akan turun beraksi bagi menguatkan lagi pasukan terutama di pertahanan, ini satu berita baik,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd Nafuzi berkata KDA FC akan melakukan sedikit rombakan berdepan Perak yang berada di bawah kendalian Yusri Che Lah dan berharap pemain dapat melakukan persembahan terbaik di posisi masing-masing.

“Bagi saya sekarang ni Yusri Che Lah, saya rasa antara jurulatih yang baik dari segi persediaan pasukan, dari segi motivasi pemain dan hubungan antara jurulatih dengan pemain, saya yakin Perak boleh bangkit, pemain kita harus berjaga-jaga dan tidak ambil mudah,” katanya.

Yang penting sekali pemain harus memikirkan diri sendiri dan apa yang mereka perlu buat dalam perlawanan, dari segi permainan, dari segi bertahan dari segi serangan, itu lebih penting,” katanya yang turut berharap Kedah tidak kehilangan mata bermain di tempat sendiri.

Sementara itu, dalam sidang media sama Muhamad Kamil Akmal berazam memberikan persembahan terbaik pada perlawanan esok dan mendapatkan kemenangan di halaman sendiri.

“Saya akan bagi 100 peratus komitmen kepada permainan hari ini, Insya-Allah kami akan kekalkan momentum kemenangan untuk pastikan Kedah berada dalam kelompok empat terbaik carta liga,” katanya. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru