
KUCHING: Gergasi serba mantap, Nangka United mahu mengekalkan rentak kemenangan apabila turun pada aksi suku akhir kedua menentang Dudong FC, Liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak 2022 (Sarawak Central Zone Football League 2022) di Padang Penjara Sibu, petang esok.
Hasrat itu disuarakan dengan cuba mempertahankan kelebihan dua gol yang ada hasil kemenangan (2-0) dicatat pada aksi suku akhir pertama seminggu lepas.
Ketua jurulatih Roziman Ramblie menegaskan, mereka turun dengan satu misi iaitu mengelak dari musibah kekalahan apabila sekali lagi berdepan Dudong FC petang esok.
“Memang kelebihan kepada kami yang mempunyai dua gol hasil kemenangan (2-0) pada perlawanan hujung minggu lepas.

“Setentunya kelebihan tersebut akan cuba dipertahankan untuk kami memastikan mara ke peringkat separuh akhir,” jelas Roziman kepada Arena Suara Sarawak.
Roziman bersama rakan seangkatan Gilbert Casidy Gawing (Penolong Jurulatih) komited membentuk kredibiliti pemain untuk pasukan tersebut sedar tugas getir akan ditempuhi pemainnya sepanjang perlawanan itu.
Ia adalah dengan mengambil kira pasukan lawan (Dudong FC) yang akan turun dengan berhabis-habisan.
“Pemain kami sudah cukup bersedia untuk menghadapi gelora yang cukup mencabar dari pasukan Dudong FC sepanjang tempoh 90 minit masa sebenar,” tambah Roziman.
Dalam perkembangan sama, Roziman menegaskan, persiapan untuk sepakan penalti turut dipraktik ketika sesi latihan.
“Persiapan kearah itu tetap dilakukan andaikata perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti,” jelasnya.