ARTIKEL

Kredit: BERNAMA

LIGS meterai dua MoU pacu pembangunan industri penanaman nanas MD2 di Sabah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA KINABALU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua entiti swasta dalam usaha untuk memacu pembangunan industri penanaman nanas MD2 di Sabah.

MoU pertama adalah dengan Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn Bhd yang bertujuan memastikan semua hasil tanaman nanas MD2 mempunyai pasaran stabil sekali gus membantu membina ekosistem industri nanas yang mampan.

Manakala MoU kedua pula dimeterai dengan Una Crop Sdn Bhd untuk memastikan LIGS mempunyai akses kepada benih nanas MD2 berkualiti tinggi serta kepakaran teknikal yang diperlukan, selain memastikan program penanaman diusahakan berjaya dari segi kuantiti dan kualiti.

Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata LIGS diberi kepercayaan oleh Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan program Inisiatif Pendapatan Rakyat pada tahun lepas melalui penanaman nanas MD2 di Kampung Gana, Kota Marudu dengan keluasan 80.9 hektar.

“Ini adalah langkah awal dalam usaha meningkatkan pendapatan para pekebun kecil getah yang terlibat sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara,” kata Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah menerusi ucapannya semasa majlis memeterai MoU itu, di sini.

Teks ucapan Jeffrey dibacakan oleh Pembantu Menteri Peto Galim, yang turut mewakili beliau menyaksikan majlis menandatangani MoU antara LIGS dan kedua-dua syarikat berkenaan.

Pada majlis permeteraian itu LIGS diwakili Pengurus Besarnya Sabdil Tanjong manakala Rompin Integrated Pineapple oleh Pengerusinya Datuk Shahrul Nizam Abdul Aziz yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanah Makmur Berhad dan Una Crop diwakili Pengarah Urusannya Mohamad Hidhir Hamin.

Jeffrey berkata MoU dimeterai antara LIGS dan Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn Bhd bukan sekadar jalinan kerjasama antara kedua-dua entiti malah merupakan simbolik kerjasama antara kerajaan negeri Sabah dan Pahang dan beliau yakin akan ada lebih banyak jalinan kerjasama antara kedua-dua negeri itu pada masa depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, LIGS berazam meneruskan kejayaan fasa pertama program penanaman nanas MD2 dengan membangunkan lagi tanah seluas 121.4 hektar bagi penanaman buah sama untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pekebun kecil pada masa akan datang.

“LIGS kini dalam rangka melebarkan potensi industri nanas bagi meneroka bidang pembungkusan dan pemprosesan nanas MD2,” katanya,

Menurutnya, hasil tanaman nanas MD2 fasa pertama dijangka dituai pada penghujung Oktober ini yang akan ditambah nilai agar peserta dapat memperoleh pendapatan lebih baik.

Sementara itu, Peto dalam sidang media berkata seramai 450 peserta terlibat dalam fasa pertama projek penanaman nanas MD2 buat masa ini, dan jumlah peserta dijangka meningkat apabila fasa kedua dimulakan kelak.

Bagi fasa pertama, kira-kira 5,000 tan nanas MD2 dijangka dapat dituai pada Oktober ini melibatkan anggaran nilai RM20 juta, katanya. — BERNAMA

BERITA LAIN

Nikmati tawaran bermusim HONOR Magic

KUCHING: Berikutan permintaan tinggi HONOR Magic6 Pro dalam warna unggu awan (cloud purple), HONOR bakal membawakan varian tersebut dan pembelian bermula pada 31 Mei ini.

BERITA TERBARU