Lim Guan Eng tiada hak membuat kenyataan sedemikian terhadap Sarawak

KUCHING: “Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak mempunyai hak untuk memberitahu negeri Sarawak bagaimana untuk mengurus bajet itu,” Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak Dr. Lucy Sebli Seidelson.

Menurut Lucy, Kerajaan Persekutuan telah mengurang bajet yang sepatutnya diperuntuk kepada kerajaan negeri Sarawak.

“Oleh itu, kerajaan negeri Sarawak tiada pilihan selain menggunakan rizabnya untuk membangun sosio-ekonomi dan infrastruktur di negeri ini, ” kata Lucy.

Tambah Lucy, kerajaan Sarawak terpaksa menanggung dengan membayar gaji ketua kampung, tuai rumah, penghulu dan pemancha.

“Jadi pihak kerajaan negeri terpaksa menggunakan rizabnya untuk menanggung gaji tersebut,” ujarnya.

Kata Lucy, kerajaan Persekutuan juga sekadar membuat janji yang manis terutamanya royalti minyak yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam manifesto mereka.

“Sekiranya Lim Guan Eng benar-benar ikhlas dalam membantu Sarawak, beliau perlu meningkat belanjawan Sarawak dan pembiayaan pembangunan ke Sarawak,” terang Lucy.

Lucy menjelaskan pengumuman yang dibuat oleh Lim Guan Eng sangat tidak bertanggungjawab kerana sudah pasti menjejaskan keyakinan pelabur di Sarawak dan ekonomi Sarawak secara keseluruhan.

TIADA HAK… Dr. Lucy Sebli Seidelson mengatakan Lim Guan Eng tidak berhak membuat kenyataan sedemikian.