KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada pemain industri agar tidak mengambil kesempatan sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) dengan menaikkan harga barangan tidak munasabah.
Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata KPDN Kedah akan turun padang bermula 22 Mei ini untuk melakukan operasi pemantauan harga di sekitar venue pameran itu dan sekiranya kenaikan harga berlaku, tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 .
“Saya nasihatkan semua pemain industri seperti pengusaha sewa kenderaan, hotel dan penginapan dan pengusaha makanan agar tidak mencatut harga dan mengambil kesempatan daripada kedatangan pengunjung ke Pulau Langkawi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang roti milik HPA Industries Sdn Bhd di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan Gan Ay Ling, Pengarah KPDN Perlis Norazah Jaapar dan pemilik HPA Industries Sdn Bhd Ismail Ahmad.
Media melaporkan Kementerian Pengangkutan (MOT) menjangkakan kira-kira 45,000 pengunjung dari seluruh dunia akan mengikuti pameran dwitahunan itu yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.
Kali terakhir LIMA diadakan adalah pada 2019 dan tidak diadakan pada 2021 susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika itu.– BERNAMA