Lima bayi berjaya diselamatkan oleh Hospital Pakar Kuching (KPJ) sejak penubuhan 'baby hatches'

KUCHING: Seramai lima bayi berjaya diselamatkan oleh Hospital Pakar Kuching (KPJ) dan di hantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sejak penubuhan ‘baby hatches’ pada tahun 2017 lalu.
Bagaimanapun Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, salah seorang daripada bayi berkenaan telah meninggal dunia.
“Oleh sebab itu, saya mengalu-alukan lebih banyak banyak hospital swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menubuhkan ‘baby hatches’ di negeri ini.
“Menyediakan kemudahan seperti tempat meletak bayi yang tidak diingini baru lahir dapat mengelakkan bayi tersebut di buang di tempat yang tidak selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media maya mengenai One Stop Teenage Pregnancy Comunnitee (OSTPC) di sini, hari ini.
Tambah beliau, hospital tersebut telah memberi perkhidmatan dalam menguruskan bayi yang baru lahir dari segi pembiayaan dan teknikal sejak empat tahun lalu.
Namun demikian, kemudahan tersebut di hospital berkenaan ditangguhkan sementara kerana berpindah ke lokasi baharu dan sedang berusaha untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk mendirikan tempat itu.
“Mereka masih mencari lokasi baharu yang sesuai untuk meletakkan bayi yang baru lahir dan tidak diingini kerana mengambil kira aspek teknikal, keselamatan dan privasi.
“Oleh sebab itu, kita memerlukan kerjasama semua pihak seperti NGO dan hospital swasta untuk menubuhkan ‘baby Hatches’,” ujarnya.
Tambah beliau, sekiranya mereka memerlukan dana untuk penubuhan tempat berkenaan, Persatuan Cina Sarawak (SFCA) akan membantu mencari penaja.
Sementara itu, pihak kementerian juga mahu kebajikan ibu-ibu terutama remaja atau ibu yang belum berkahwin di ambil kira dan terdapat beberapa sistem sokongan yang tersedia untuk mereka.
“Di Taman Seri Puteri di bawah JKMS adalah tempat perlindungan bagi remaja hamil dirujuk oleh mahkamah yang melibatkan kes rogol.
“Namun demikian, kita juga ingin remaja hamil tampil ke hadapan jika mereka memerlukan pertolongan kerana tempat perlindungan menyediakan semua penjagaan seperti sokongan, kaunseling, makanan, penginapan termasuk sukan, program akademik dan vokasional seperti tuisyen untuk SPM, PT3, menjahit dan masakan,” jelasnya.