Lima Geng Awik diberkas

MIRI: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

‘Geng Awik’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah akhirnya tumpas apabila lima individu terbabit
berjaya ditangkap polis, semalam.

Biarpun kegiatan itu baru bermula awal bulan ini, namun geng tersebut disyaki sudah terlibat dalam 15 kes jenayah membabitkan jenayah pecah rumah di sekitar bahagian Miri.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 29 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Batu 8, Jalan Miri-Bintulu di sini, sekitar jam 6.56 hingga 7.46 pagi semalam.

“Berikutan penangkapan lima suspek ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak 15 kes pecah rumah dan curi di Kampung Lambut, Lusut dan Taman Tunku.

“Hasil siasatan awal mendapati kelima-lima suspek terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya, semalam.

Turut dirampas dua laras senapang angin, dua biji guli dan seutas jam tangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memilik senjata api.

Menurut Meng Seah, usaha untuk mengesan rakan subahat lain dan barang kes kini sedang giat dilakukan.

Suara Sarawak