DUNIA hari ini, tidak sekadar bercakap tentang komoditi bahan mentah seperti barangan keperluan makanan dan pakai pakaian seharian.
Atau bercakap tentang keperluan peralatan mewah serta berjenama termasuk kenderaan.
Atau bercakap tentang asas ekonomi mikro dan makro.
Dunia hari ini bercakap tentang keperluan perkhidmatan atau konsultasi dalam memenuhi keperluan kehidupan itu sendiri.
Bahkan, dalam banyak kes, caj perkhidmatan jauh lebih mahal berbanding komoditi fizikal. Ini meliputi harta intelek.
Di dunia telekomunikasi, keperluan peralatan dan aplikasi sokongan melayari dunia maya menjadi perkara yang sangat utama.
Dari sini wujudnya media sosial yang menjadi antara keperluan manusia berkomunikasi dan berhibur tanpa batas dalam era digital ini.
Benarlah kata Aristotle bahawa manusia ialah makhluk yang hidup bermasyarakat dan berkomunikasi.
Kemunculan media sosial seperti Youtube, Facebook, Instagram, TikTok, Twitter dan sebagainya menjadi ikon kepada keperluan tersendiri manusia berkomunikasi dan berhibur, bahkan bermualamat.
Hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, pemilik Facebook dan Instagram, terus tampil mencengkam dunia media sosial.
Pasukan Zuckerberg memunculkan Threads untuk duduk sebumbung di dunia maya, untuk sederet aplikasi media sosial milik syarikatnya dalam perlumbaan dengan aplikasi pesaing.
Kemaraan Threads dalam persaingan dunia media sosial bukan rahsia, malah terancang untuk mendepani pesaingnya Twitter.
Threads fenomena dalam kelas dunia media sosialnya yang tersendiri.
Hanya dalam tempoh lima hari, jumlah pengguna Threads mencecah 100 juta pengguna.
Pemiliknya sendiri Zuckerberg dan sekutunya Ketua Pegawai Eksekutif Instagram, Adam Mosseri sempat terkejut mengatakan:
“Saya masih tak percaya fakta itu.”
“Ini gila, dan saya masih tak dapat memahaminya,” kata Mosseri melalui akaun Threadsnya @mosseri.
Selepas dilancarkan di 100 negara pada Khamis lepas, sebanyak dua juta pengguna mendaftar akaun Thread dalam masa dua jam.
Mikrobloging Dalam tempoh empat jam, sebanyak lima juta pengguna mendaftar dan 10 juta pengguna mendaftar Threads dalam tujuh jam.
Keesokan harinya, platform mikrobloging itu melepasi 30 juta pengguna dalam masa sekitar 15 jam selepas dilancarkan.
Mengambil kira aplikasi itu belum lagi dilancarkan di Kesatuan Eropah, diramalkan bilangan pengguna terus berkembang. Bahkan, Threads berupaya memintas rekod ChatGPT.
ChatGPT keluaran OpenAI mencecah 10 juta pengguna aktif harian dalam masa 40 hari dan disertai 100 juta pengguna bulanan dalam masa dua bulan ia dilancarkan.
TikTok mengambil masa sembilan bulan untuk mendapat 100 juta pengguna. Lihatlah, Instagram mengambil masa dua setengah tahun untuk mencipta angka tersebut.
Kenyatannya sekarang, di dunia aplikasi media sosial, Threads dikatakan memberi ancaman serius pertama terhadap mikrobloging milik Elon Musk, Twitter yang memiliki 200 juta pengguna aktif.
Sesungguhnya, kejayaan bergaya dan pantas yang dicipta oleh mikrobloging Threads, disumbangkan dek kecekapan Instagram yang sudah memiliki lebih 1 bilion pengguna dunia.
Instagramlah rakan sekongkol Threads yang membantu dan memandu pengguna mendaftar terus serta mengakses keahlian mereka yang sudah sedia wujud di pelantar terkenal itu.
Sampaikan Zuckerberg mendabik dada mengatakan ia sebagai sebahagian besar daripada permintaan organik “dan kami bahkan belum mengaktifkan banyak promosi”.
Twitter pula memiliki hampir 240 juta pengguna aktif harian yang dapat dimonetisasi, meski data dari perusahaan analitik web menunjukkan penggunaannya telah menurun.
Similarweb mendakwa, trafik web Twitter turun 11 peratus berbanding tahun sebelumnya pada hari-hari setelah pelancaran Threads, berbanding 4 peratus turun dari tahun ke tahun pada Jun.
Bagi Twitter, Threads bukanlah platform pertama yang menantangnya, bahkan ia masih berdepan cubaan pesaing lain seperti Mastodon, Bluesky, Truth Social dan T2.
Namun tantangan platform lain itu hanya dianggap sebagai “angin lalu”.
Mastodon memiliki sekitar 7.7 juta total pengguna, dengan kurang dua juta aktif menggunakannya.
Keterbatasan Bluesky, layanan baharu yang didukung oleh salah satu pendiri Twitter Jack Dorsey mendaftar 265,000 pengguna sejak Februari lepas.
Menangani isu Twitter sejak tarikh pembeliannya seharga AS$44 bilion, adakah Elon Musk sebenarnya melakukan kesilapan apabila cuba mengekang keterbatasan Twitter.
Masih ingat dengan kontroversi mantan Presiden AS Donald Trump dengan Twitter sampaikan Trump merajuk lantaran membangunkan media sosial sendiri berbau politik, GETTR memiliki 144,000 dan Truth Social 607,000 pengguna.
Ternyata, Twitter sengaja mencipta masalahnya sendiri ketika Musk mengatakan semuanya biasabiasa sahaja.
Selepas bilionair Musk membeli platform tersebut tahun lalu, beliau bertindak memberhentikan ribuan kakitangannya.
Pemilik Tesla dan SpaceX itu memperkenalkan banyak peraturan termasuk mengenakan bayaran yang sebelum itu ditawarkan percuma, selain mengenakan tindakan akaun dilarang aktif di platform tersebut.
Sekatan dan peraturan baharu menyebabkan banyak pengguna lari.
Baru-baru ini Musk mengancam mendakwa Meta atas tuduhan merompak rahsia dagangan dan harta intelek, yang dinafikan sekeras-kerasnya syarikat sekutu Facebook dan WhatsApp itu.
Musk turut berdepan dengan Zuckerberg, pemilik Meta menjadikan kedua-duanya saling bertarung.
Ini pula kisah di sebalik sebahagian daripada masalah Musk dengan mahasiswa Florisa Jack Sweeney, 20 yang membuka akaun ElonJet di Twitter – menggunakan bot (pasukan akaun palsu) untuk melacak lokasi jet peribadi Musk.
Lokasi Pesawat Projek Sweeney terkenal pada awal 2022 ketika Musk menawarnya AS$5,000 memintanya berhenti memposting lokasi pesawatnya.
Namun Sweeney mengajukan permintaan AS$50,000. Ketika Musk nekad membeli Twitter pada Disember 2022, akaun ElonJet milik Sweeney menjadi mangsa penangguhan.
Akaun tersebut yang mempunyai 500,000 pengikut menimbulkan ancaman keselamatan bagi Musk dan keluarganya kerana mendedah lokasi mereka secara masa sebenar.
Dijadikan kisah menarik, Swenney membawa dirinya ke Threads mewujudkan akaun baharunya atas nama “elonmusksjet” di Threads yang segera memiliki 80,000 pengikut.
Gilanya Sweeney, dia terus berkicau tentang lokasi jet Musk dengan penundaan 24 jam, menggunakan akaun ElonJetNextDay.
Di Threads, Sweeney berkicau menggunakan akaun elonmusksjet mengumumkan perpindahan ElonJets ke Threads melalui posting pertamanya.
Dan Sweeney sempat mengaju pertanyaan sinikal kepada Zuckerberg adakah akaunnya itu akan tetap wujud tanpa gangguan (tidak sebagaimana Twitter melayannya).
Kalau anda ialah Zuckerberg yang menyasarkan untuk Threads dapatkan 1 bilion pengikut, harus bagaimana anda melayan orang seperti Sweeney dalam dunia harta intelek dinilai dengan ringgit dan sen!