Lima kenderaan berpatah balik

KUCHING: Lima buah kenderaan diarahkan berpatah balik setelah gagal menunjukkan surat kebenaran atau permit polis ketika cuba merentasi Daerah Kuching di Sekatan Jalan Raya (SJR), pada Isnin.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail menegaskan ia susulan pelaksanaan 10 SJR sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Daerah Kuching.

Menurutnya, hari pertama SJR menyaksikan sedikit kesesakan lalu lintas di Jalan Samarahan menghala ke Kuching antara jam 6 pagi hingga 9 pagi.

“Ia berikutan orang ramai hendak ke tempat kerja, manakala setakat jam 2 petang sebanyak lima kenderaan telah diarahkan berpatah balik.

“Setakat ini, lalu lintas di beberapa lokasi nampak berkurangan berbanding hari biasa dan pemerhatian pada hari pertama menunjukkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak pada Isnin.

Sementara itu katanya, lapan SJR dilakukan di Kuching dan dua SJR masing-masing di Batu 14, Jalan Kuching Serian oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan.

Manakala satu lagi di Jalan Kota Samarahan-Kuching (Jambatan Kuap) oleh IPD Samarahan.

Untuk itu tegasnya, orang ramai yang mahu keluar Kuching atau melalui Daerah Kuching perlu mendapatkan kebenaran daripada balai polis berdekatan.

Katanya, kesemua SJR tersebut melibatkan seramai 240 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Suara Sarawak