
KUCHING: Lima kes tangkapan perjudian dalam talian di daerah ini telah dituduh di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, dengan hukuman paling rendah RM10,000 dan paling tinggi RM40,000.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata lima kes itu adalah daripada 14 kertas siasatan yang telah dibuka, dengan sembilan lagi kertas siasatan lain akan dituduh sebaik sahaja selesai.
“Bagi lima kertas siasatan yang telah dituduh, sekiranya gagal membayar denda akan dipenjara selama enam bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata daripada 14 kertas siasatan yang dibuka, 13 daripadanya adalah di bawah Seksyen 4(1)(C) ARJT 1953 iaitu perjudian dalam talian dan satu di bawah Seksyen 4A (a) ARJT 1953 iaitu perjudian loteri awam tanpa lesen.
Sementara, Ahsmon berkata dalam tempoh 1 hingga 17 Ogos ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya membuat sebanyak 14 serbuan hasil daripada Op Dadu ke atas kegiatan perjudian dalam talian.
Katanya 14 lelaki tempatan telah ditangkap membabitkan jumlah nilai rampasan iaitu wang tunai sebanyak RM1,157 dan 14 unit telefon bimbit dan pemotongan elektrik.
Justeru, beliau berkata Op Dadu akan diteruskan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras aktiviti perjudian haram.
Beliau turut mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian di Daerah Kuching dengan menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran.