Lima lelaki dicekup ketika bungkus dadah di Tabuan

KUCHING: Lima lelaki ditahan ketika sedang leka membungkus dadah dalam sebuah rumah Kampung Tabuan Tabuan Hilir jam 10.55 semalam.

Serbuan mengejut daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuching mendapati suspek sedang giat membungkus ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine ke dalam tiub straw.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata kelima penganggur berusia antara 22 hingga 39 tahun terbabit berada di dalam sebuah bilik ketika serbuan dilakukan.

“Hasil serbuan menjumpai satu peket plastik cerah, 10 tiub straw cerah berisi dadah di atas lantai berhadapan suspek ditahan.

“Kesemua dadah seberat 5.17 gram bernilai RM510 telah dirampas, manakala kelima-lima suspek dibawa ke BSJND Kuching untuk tindakan lanjut,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Hasnir, kesemua suspek turut disahkan positif dadah jenis Methamphetamine hasil saringan air kencing dilakukan terhadap mereka.

Jelas beliau, semakan rekod kesalahan lampau mendapati kesemua suspek masing-masing pernah ditahan dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujarnya, kelima-lima suspek kini dalam proses permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak melebihi sembilan kali.

Ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine berjaya dirampas

Suara Sarawak