Lima lelaki disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol berjaya ditahan di Batu Kawa

KUCHING: Lima lelaki disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan hasil Op Mabuk dijalankan polis di Jalan Batu Kawa (MJC), pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan mengesahkan suspek ditahan sekitar jam 10 malam oleh sepasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak bersama polis Trafik Padawan.

Menurutnya, kelima-lima suspek ditahan dalam masa dua jam operasi kawalan dijalankan di lokasi kejadian.

“Pasukan operasi telah menahan lima lelaki yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Daripada jumlah tersebut dua daripadanya disahkan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan iaitu 92mg/100ml dan 285mg/100ml hasil ujian nafas yang dijalankan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, kedua-dua suspek telah dibawa ke balai Batu Kawa untuk tindakan siasatan lanjut.

Kata Aidil, ketika disoal siasat suspek turut mengaku telah meminum Chap Langkau (arak tempatan).

Susulan itu, ujarnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

OPERASI… Suspek telah dibawa ke balai polis Batu Kawa untuk menjalani ujian pernafasan pengesanan jumlah pengaruh alkohol

Suara Sarawak