Lima orang pekerja asing ditangkap dalam satu serbuan judi atas talian

KUCHING: Tiga lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia yang merupakan pekerja judi atas talian haram ditangkap dalam satu serbuan dalam sebuah rumah jenis dua tingkat di Jalan Ensing, Batu Kawa, hari ini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Padawan Superintenden Aidil Bolhasaan berkata, lima suspek tersebut ditangkap atas kesalahan terlibat dengan aktiviti judi dalam talian.

“Premis tersebut didapati telah beroperasi selama tujuh bulan dan
waktu operasi adalah 24 jam setiap hari dan semua pekerja tinggal di tempat yang sama.

“Setiap pekerja berkenaan akan dibayar gaji berjumlah RM1,000 hingga RM1,500 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, laman sesawang judi yang digunakan oleh sindiket ialah 918kiss, Kiss Kaya, Mega888, Pussy 888 dan XE 888.

Menurut Aidil, jumlah keuntungan kasar permis itu mencecah RM5,000 sehari hingga RM150,000 sebulan.

“Modus operandi serbuan itu mendapati bilik di tingkat atas digunakan oleh semua pekerja untuk berehat. Pekerja tidak dibenarkan keluar supaya tidak dikesan pihak berkuasa.

“Setiap pekerja dibekalkan telefon pintar dan komputer bagi memudahkan urusan pelanggan dan pasaran,” katanya lagi.

Ujarnya, setiap wang pertaruhan akan dikreditkan oleh pelanggan ke beberapa akaun bank sindiket dan seterusnya slip bank akan di hantar melalui aplikasi media sosial ke telefon operator dan memberi kata laluan kepada pelanggan untuk memulakan permainan.

Aidil memberitahu bahawa suspek dalam lingkungan usia 17 tahun hingga 35 tahun.

Ujarnya, pihak polis telah merampas tiga unit monitor, tiga unit CPU, tiga unit tetikus, tiga unit papan kekunci, tiga unit telefon pintar, sebuah modem Huawei dan sebuah Unifi.

Kes di siasat di bawah Seksyen 4(1)(g) ARJT tahun 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta IMG 1959/63.

Suara Sarawak