Lima pati dan seorang warga tempatan cuba seludup barangan tani, rampasan bernilai RM110,000

KUCHING: Lima lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) bersama seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas dua buah kenderaan dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Raso semalam.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak SAC Mancha Ata berkata kesemua suspek dijumpai sedang giat memunggah barangan tani sebelum diserbu oleh pasukan Komtek Sektor A Ops Benteng Covid ketika melakukan rondaan di lokasi sekitar jam 1.30 petang.

Hasil pemeriksaan awal katanya kesemua Pati itu yang berusia 33 hingga 37 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen sah perjalanan manakala suspek warga tempatan, 44, dipercayai menjadi menjadi dalang kepada sindiket penyeludupan berkenaan.

“Kelima-lima lelaki Indonesia tersebut mengaku telah memasuki Sarawak melalui jalan ladang sawit Raso 2,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya hasil pemeriksaan lanjut pada dua buah kenderaan jenis Mitsubishi Fuso dan Toyota Hilux Single Cab menemui barang-barang pertanian termasuk 28 guni buah Naga, 39 guni halia, 12 guni sengkuang, 29 guni kacang buncis, 13 guni petai, empat guni beras merah, dan 15 guni ubi manis.

Susulan itu tegasnya kesemua barangan terbabit termasuk kenderaan telah dirampas dan menjadikan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM110,000.

Mancha menambah, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk tindakan lanjut.

Ujarnya kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959 (Akta 155) dan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Akta Kastam.

BARANG…Dua buah kenderaan berisi barangan tani dipercayai cuba diseludup ke negara jiran

 

TAHAN…Lima lelaki Indonesia yang berjaya ditahan hasil serbuan

Suara Sarawak