Lima PATI diberkas dan diusir keluar sempadan

SERIAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya menahan lima orang pendatang asing tanpa izin (Pati) ketika bersembunyi di dalam sebuah rumah transit yang terletak di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia dekat sini hari ini.

Komander PGA Sarawak Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata kesemua lelaki warganegara Indonesia itu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah kongsi di Melikin, Balai Ringin kira-kira jam 4 pagi.

Katanya serbuan di buat hasil maklumat risikan Op Benteng Covid-19, yang dijalankan oleh Cawangan Risik Batalion 11 PGA

“Hasil pemeriksaan menjumpai lima orang warganegara Indonesia berada di dalam rumah kongsi berkenaan yang disyaki menjadi transit bagi Pati.

“Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mancha berkata kesemua Pati berusia 26 hingga 50 tahun itu dipercayai masuk ke negeri ini menggunakan jalan tikus untuk mencari pekerjaan.

Katanya mereka telah diusir keluar melalui pintu utama sempadan Malaysia-Indonesia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu.

Suara Sarawak