ARTIKEL

Ayub Dahari bercakap pada sidang media.

Lima Pusat Baharu SeDidik Dibuka Tahun Depan, Fokus Penuhi Permintaan Pendidikan Awal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: SeDidik akan membuka lima pusat pendidikan awal kanak-kanak baharu di seluruh Sarawak pada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada usaha pengembangan berterusan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Pengurus Besar SeDidik Sarawak, Ayub Dahari, berkata lima pusat berkenaan merangkumi empat buah taska dan sebuah tadika yang persiapan awalnya telah dilaksanakan, sekali gus mencerminkan komitmen SeDidik dalam memperluaskan akses pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negeri.

“Kita sebenarnya telah membuat persiapan awal. Sepanjang tahun ini, semua permit yang diperlukan telah dilengkapkan dan kini kita hanya menunggu masa yang sesuai untuk memulakan operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen SeDidik Sarawak Zon Samarahan yang dirasmikan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Idris Buang, di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), di sini, hari ini.

Menurutnya, antara pusat yang bersedia untuk memulakan operasi tahun hadapan ialah Taska di Tempat Kerja SeDidik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak di Samarahan.

“Memorandum persefahaman (MoU) serta perjanjian rasmi telah ditandatangani, dan dokumen MoU berkenaan akan diserahkan semasa majlis konvokesyen UiTM.

“Selepas itu, kita akan memulakan operasi tahun depan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa SeDidik kini sedang menunggu kelulusan permit bagi taska di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS).

“Sejurus permit diluluskan, kita akan terus memulakan operasi. Sekiranya tidak dapat dimulakan pada suku pertama, kemungkinan besar ia akan bermula pada suku kedua 2026,” ujarnya.

Ayub berkata, Taska SeDidik di Taman Wangsan, Mukah, masih menunggu kelulusan permit namun dijangka memperoleh kelulusan dalam tempoh tahun ini.

“Sebuah lagi taska di tempat kerja turut dirancang di Hospital Sibu dengan perjanjian kini dalam proses dimuktamadkan, selain sebuah lagi tadika SeDidik yang dirancang di Bekenu, Miri,” katanya.

Mengulas mengenai silibus SeDidik, beliau berkata elemen asas bahasa isyarat telah diintegrasikan sejak 2020 dengan latihan awal diberikan kepada guru-guru sebagai persediaan.

“Inisiatif ini dicetuskan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, bagi mendedahkan kanak-kanak kepada kepelbagaian dalam masyarakat.

“Matlamat utama kami bukan untuk menjadikan bahasa isyarat sebagai kemahiran teras, walaupun ia merupakan satu kelebihan.

“Yang lebih penting adalah mendidik kanak-kanak bahawa terdapat individu di sekeliling mereka yang tidak boleh mendengar, bertutur atau melihat,” tegasnya.

Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memupuk rasa empati dan kesedaran sosial sejak usia awal.

“Kita mahu memupuk sifat prihatin dan inklusif supaya apabila mereka dewasa kelak, mereka akan lebih peka serta menerima komuniti di sekeliling,” tambahnya.

Menyentuh mengenai kelayakan guru, Ayub berkata SeDidik telah mematuhi sepenuhnya syarat yang lebih ketat ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, dengan semua guru kini diwajibkan memiliki sekurang-kurangnya diploma.

“Kami telah menghantar guru sedia ada untuk melanjutkan pengajian, dan bagi mereka yang tidak layak ke universiti, mereka digalakkan mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 yang setara dengan diploma,” ujarnya.

Beliau menambah, SeDidik kini mencapai 100 peratus pematuhan kelayakan pendidik dengan seramai 181 orang guru di 107 buah pusat, termasuk 82 buah tadika di seluruh Sarawak memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Semua pendidik kami diiktiraf dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan, dan kami kekal komited untuk mematuhi sebarang penguatkuasaan baharu pada masa akan datang,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Wajib bayar HUTANG, jangan tangguh

Hutang merupakan perkara yang lazim dalam kehidupan manusia. Ada yang berhutang untuk memenuhi keperluan keluarga, membeli rumah, mendapatkan kenderaan atau menjalankan perniagaan. Islam tidak melarang

Jaga data privasi kita

MINGGU lepas, dan sebenarnya banyak minggu, telefon pintar saya memaparkan iklan pelaburan hanya dengan jumlah kecil, tetapi memberikan pulangan lumayan. Bayangkan pelaburan hanya RM500, kita