Lima rumah di Kampung Tebaang rosak akibat ribut

DARO: Hanya kira-kira 10 minit, sebanyak lima buah rumah di Kampung Tebaang di sini, mengalami kerosakan dalam kejadian ribut petang tadi.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Tebaang, Adykurniawan Abdullah berkata, kejadian berlaku pantas mengakibatkan mangsa yang kebanyakannya masih di dalam rumah berkenaan tidak sempat keluar untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun katanya, kesemua 10 keluarga yang terlibat dalam insiden kira-kira 5.00 petang itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sebahagian besar rumah terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung dan dapur namun setakat ini, jumlah kerugian belum dapat ditafsirkan,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Menurut Adykurniawan, mangsa turut meluahkan rasa sedih apabila kediaman mereka rosak termasuk di hadapan rumah dan dapur.

Wakil ADUN N.43 Daro meninjau kerosakan rumah mangsa.

Ketika ini katanya, kesemua mangsa masih tinggal di rumah masing-masing kerana kejadian itu tidak merosakan keseluruhan struktur rumah.

Dalam pada itu, ADUN N.43, Safiee Ahmad memberikan respon segera dengan menghantar wakilnya bagi meninjau keadaan kediaman mangsa.

“Saya juga telah menghubungi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah sebagai tindakan susulan.

Kita akan melihat jenis bantuan segera yang boleh disalurkan untuk membantu meringankan beban mangsa.

“Sehubungan itu, saya bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa dalam kejadian ini dan berharap mangsa bersabar dengan musibah yang menimpa,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Sesco turut membantu membaiki tiang elektrik yang tumbang bagi memastikan bekalan elektrik ke kampung berkenaan tidak terjejas.

Suara Sarawak