Lima sekeluarga kemalangan kendiri di Saratok, disahkan selamat

SARATOK: Lima sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun yang terlibat dalam kemalangan kendiri berhampiran Saratok Memorial Hill di Bukit Perabun, semalam disahkan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok PPgB Nazry Mohamat memberitahu, bagaimanapun kesemua mereka mengalami kecederaan dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Saratok.

Katanya, kereta jenis Proton berkenaan dipandu seorang lelaki dan turut membawa tiga wanita dewasa.

“Pemandu mengalami luka-luka kecil, seorang wanita patah tulang bahu, manakala dua lagi (perempuan) cedera di tangan.

“Mereka sekeluarga difahamkan bergerak dari arah Betong untuk balik ke Kampung Hulu Saratok,” katanya ditanya lanjut, semalam.

Jelasnya lagi, insiden yang berlaku kira-kira 2:40 petang itu bukan disebabkan dilanggar oleh sebuah bas sebaliknya hanya kemalangan kendiri.

Kereta terbabit dilaporkan terbalik dan remuk.

Nazry memberitahu, ketika kemalangan cuaca panas dan jalan dalam keadaan kering.

Suara Sarawak