KUCHING: Tahun 2021 hingga 2025 adalah masa untuk Kerajaan Sarawak melaksanakan semua prinsip dan konsep pembangunan negeri ini yang telah dirancang dari 2017 hingga 2020, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, ia termasuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan sebagainya.
“Malah Sarawak Energy Berhad (SEB) menyatakan, mungkin kita dapat membekalkan bekalan elektrik sepenuhnya ke rumah panjang serta kampung di pedalaman menjelang 2023 berbanding 2025 disebabkan teknologi yang kita ada sekarang serta keberkesanan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (Sares).
“Begitu juga dengan bekalan air yang saya nampak dapat kita laksanakan sepenuhnya di seluruh negeri menjelang 2023 atau 2024,” katanya dalam temu bual khas di sini, semalam.
Ujarnya, apabila semua keperluan asas tersebut sudah ada, ia akan membolehkan masyarakat di luar bandar terlibat dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pelancongan, perkhidmatan dan sebagainya serta memainkan peranan dalam mengubah ekonomi Sarawak.
“Bermakna, tahun 2021 ini adalah tahun pertama kita melaksanakan semua projek ini hingga ke 2025.
“Pada masa yang sama kita menyediakan tenaga kerja dan pembangunan bakat dan akhirnya antara 2025 hingga 2030, kita menuju ke arah impian kita iaitu negeri termaju di Malaysia,” jelasnya.
Beliau yakin impian tersebut dapat dicapai jika Kerajaan Sarawak merancang semua pembangunan dengan bijak. “Saya tidak berani cakap kita dapat mencapai rancangan 2030 lebih awal daripada yang dirancang kerana saya percaya ‘kita jangan takbur’.
“Tetapi kita hendaklah rancang dengan bijak, kerana saya nampak ia mungkin dapat dicapai.
“Ini kerana kita mempunyai sumber dan bakat, yang secara langsung menarik ramai pelabur.
Mereka dapat datang ke kawasan yang dapat mengeluarkan barangan yang diterima pasaran tempatan kita,” katanya.
Beliau percaya jika Sarawak dapat menarik minat pelabur, negeri ini akan menjadi satu kawasan yang boleh mengembangkan ekonomi Malaysia.

Abang Johari kunjungi Tun Taib
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun