Lima warga tempatan di Siburan dicekup polis miliki syabu

SIBURAN: Seramai lima lelaki ditahan pihak polis mengaku terlibat dengan penyalahgunaan dadah, menerusi satu operasi serbuan ke atas sebuah rumah kedai di Pekan Batu 10 Jalan Kuching-Serian sekitar jam 11.48 malam Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan operasi dijalankan hasil siasatan awal, dan pihaknya menahan kesemua suspek berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun yang merupakan warganegara tempatan.

“Menerusi serbuan tersebut kita telah merampas satu beg kecil berwarna coklat dan satu paket plastik lutsinar sederhana besar mengandungi satu paket plastik lutsinar kecil disyaki dadah.

“Malah turut ditemui empat tiub straw kecil kesemuanya berisi ketulan-ketulan Kristal disyaki dadah jenis Syabu dengan berat kasar 5.20 gram,” katanya kepada Suara Sarawak.

Melalui maklumbalas awal katanya lagi kesemua suspek, memaklumkan tidak pernah terlibat menjual dadah , namun hanya mengaku menghisap dadah sejak tahun 2018 sehingga mereka ditangkap pada hari kejadian.

Katanya, ujian awal air kencing yang dijalankan ke atas salah seorang suspek turut mengesahkan suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kesemua barangan serbuan dirampas dan semua suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi.