Limbang perlukan hospital pakar

LIMBANG: Bagi memastikan masyarakat di sini terus mendapat perkhidmatan perubatan terbaik, permohonan untuk menaik taraf Hospital Limbang menjadi sebuah hospital pakar terus diperjuangkan.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata, beliau tidak akan berputus asa untuk memohon pembinaan hospital pakar daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, pembinaan blok pakar di Hospital Limbang amat diperlukan oleh rakyat kerana kedudukannya di antara negara Brunei dan Miri selain sudah menunggu sejak lebih 10 tahun lepas.

“Kami masih meminta, menuntut dan memohon kepada KKM untuk membina blok pakar Hospital Limbang.

“Perkara ini sering saya bangkitkan dalam Dewan Rakyat agar blok pakar dapat dibina segera di sini,” katanya kepada media selepas menyerahkan alat penyaman udara di wad kecemasan Hospital Limbang semalam.

Hasbi berkata, hospital pakar amat diperlukan di sini dan Kerajaan Persekutuan perlu meneruskan projek pembinaan blok tersebut bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk di Limbang.

“Keperluan hospital pakar di Limbang adalah satu keperluan. Kami masih menunggu maklum balas Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu,” katanya.

Namun demikian, beliau gembira kerana permohonan untuk mendapatkan doktor pakar diluluskan secara berperingkat-peringkat sejak 10 tahun lepas termasuk penempatan lima doktor pakar di sini.

“Hospital Limbang kini mempunyai lima doktor pakar perubatan, pakar kanak-kanak, pakar sakit puan dan perbidanan, pakar psikiatri dan pakar radiologi,” ujarnya.

Hasbi yakin dengan adanya pakar dan kemudahan tersebut, pesakit akan mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan tidak perlu lagi mendapatkan rawatan di Hospital Miri.

Hasbi menyumbang tiga set penyaman udara bernilai RM7,000 untuk kegunaan wad kecemasan Hospital Limbang.
Timbalan Pengarah Hospital Limbang Dr Nur Hazwani Md Hatta antara yang hadir.

Suara Sarawak