TANPA alam sekitar flora dan fauna, manusia pasti tidak dapat hidup lama di atas muka bumi ini, sebagaimana kata pujangga daripada Steve Irwin.
“Jika manusia dapat menyelamatkan habitat hidupan liar, manusia pada akhirnya akan mampu menyelamatkan diri mereka sendiri.”
Kata-kata itu jelas menunjukkan manusia dan ekosistem alam saling berkait rapat dan diakui sejak berdekad manusia berperanan penting untuk memelihara, memulihara serta melindungi alam secara berterusan.
Maka pada 4 Oktober setiap tahun diwartakan sebagai Hari Haiwan Sedunia apabila hari tersebut sebulat suara diterima pada Kongres Organisasi Perlindungan Haiwan Dunia di Florence, Itali pada Mei 1931 dan sebelumnya diperkenalkan oleh Heinrich Zimmermann pada 1925.
Bagi Malaysia, hak dan kebajikan haiwan di negara ini termaktub di dalam perundangan negara sejak tahun 1953 menerusi Akta Haiwan Malaysia 1953.

Ia bagaimanapun dikritik hebat oleh ramai pihak kerana dilihat lemah dan kurang diberi penekanan dalam penguatkuasaannya.
Pada 2015, Kerajaan Malaysia meluluskan undang-undang kebajikan haiwan yang dikemas kini bagi melindungi haiwan dan hukuman terhadap kekejaman haiwan menerusi Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendedahkan dari tempoh tahun 2012 sehingga 2018 sebanyak 7,788 kes jenayah hidupan liar dicatatkan dengan pola peningkatan dilihat berlaku setiap tahun dan berlaku penurunan pada 2018.
Ia melibatkan jumlah tertinggi kes iaitu menyimpan dan menggunakan hidupan liar tertentu bagi tujuan pelbagai dengan 3,733 kes.
Kes lain antaranya aktiviti pemburuan, pencerobohan, penyeludupan, perniagaan, hidupan liar bagi tujuan zoo atau pameran dan lain-lain.
Menurut Ketua Program Tabung Alam Malaysia (WWF) Malaysia bagi Program Pemulihan Sarawak, Dr Jason Hon, pihaknya berharap agar tindakan berterusan untuk memulihara hutan dan melindungi hidupan liar serta habitatnya dapat terus dilaksanakan.
“Di Sarawak, kita diberkati dengan litupan hutan yang besar dan biodiversiti yang kaya, tetapi kita mesti melakukan lebih banyak usaha untuk memulihara hidupan ini.
“Pada Hari Haiwan Sedunia yang jatuh pada 4 Oktober setiap tahun, inilah masanya setiap orang bersatu padu untuk menunjukkan cinta mereka terhadap haiwan peliharaan dan haiwan liar ini.
“Malah tidak dapat dinafikan bahawa haiwan peliharaan dan hidupan liar memainkan peranan penting dalam kehidupan kita,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.
Kesan eksploitasi haiwan

Ujarnya, buat kali kedua Hari Haiwan Sedunia disambut dalam tempoh pandemik Covid-19.
Bagi WWF-Malaysia, pihaknya mengakui ramai pihak terpaksa berhadapan dan bertarung nyawa dengan Covid-19, serta ramai juga yang kehilangan individu yang mereka sayangi.
Tambahnya, penyebaran Covid-19 tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia berlaku di luar jangkaan seperti sejumlah penyakit lain yang muncul dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
“Virus ini berasal dari haiwan tetapi oleh kerana pengurusan manusia yang kurang baik, virus ini telah disebarkan kepada manusia.
“Walaupun Covid-19 pertama kali dilaporkan di China hampir dua tahun yang lalu, ia tidak memerlukan tempoh lama untuk tersebar ke seluruh dunia.
Ini memberi kesan kepada manusia terhadap penularan penyakit tersebut.
“Terdapat juga peningkatan bukti yang menunjukkan eksploitasi semula jadi manusia secara berlebihan adalah salah satu faktor di sebalik penyebaran penyakit baharu kini.
“Bagaimanapun penting bagi kita untuk melindungi nyawa dan kesejahteraan manusia sebagai satu tindak balas utama kepada Covid-19.

“Tambahan dengan keadaan semasa yang mendesak perlunya tindakan segera untuk mengimbangkan semula hubungan manusia dengan alam sekitar,” tegasnya lagi.
Spesies haiwan dilindungi Sehingga kini, WWF-Malaysia berusaha bersama dengan agensi berkaitan untuk memelihara spesies hidupan liar yang ada. Antaranya seperti orang utan (Pongo pygmaeus pygmaeus), Sunda macan tutul (Neofelis diardi; engkuli), beruang matahari (Helarctos malayanus; beruang), Sunda pangolin (Manis javanica; tenggiling), burung enggang dan ikan lumba-lumba Irrawaddy (Orcaella brevirostris; empesut)
“Semua hidupan liar ini memainkan peranan penting kepada ekologi seperti menyebarkan benih yang membantu pertumbuhan semula hutan.
“Malangnya, mereka juga dipengaruhi oleh kehilangan habitat dan penceroboh yang berpunca oleh manusia bagi tujuan pembangunan pertanian dan tujuan pelbagai,” jelasnya lagi.
Malah bagi situasi di laut misalnya, ikan lumba-lumba akan secara tidak sengaja terperangkap dalam peralatan menangkap ikan. “Tidak dapat dielakkan manusia akan meninggalkan jejak mereka di banyak tempat, dan dengan ini ia juga meninggalkan ancaman terhadap hidupan liar yang lain.
“Semua haiwan dari burung, serangga, mamalia, reptilia, ikan dan amfibia, adalah sebahagian daripada ekosistem semula jadi bumi.
“Haiwan ini mempunyai fungsi yang unik dalam menjaga hutan, sungai dan laut agar tetap tumbuh sihat dan berkembang subur untuk semua makhluk hidupan lain.
“Semasa kita merayakan Hari Haiwan Sedunia ini, marilah kita semua berjanji untuk meningkatkan kesedaran diri dan masyarakat tentang pentingnya status haiwan dan mendorong orang ramai untuk lebih proaktif dalam melindungi mereka untuk kelansungan generasi haiwan ini,” tambahnya lagi.
Memburu hidupan liar

Bagi Sarawak kini, adalah menyalahi undang-undang untuk melakukan pemburuan hidupan liar termasuk spesies yang tidak dilindungi.
Ia hanya dibenarkan kepada penduduk asli di kawasan penempatan mereka bagi tujuan kegunaan sendiri dan tidak boleh dijual atau diperdangangkan.
Dr Jason Hon menjelaskan, haram untuk menjual dan menyimpan hidupan liar, mati atau hidup, seperti yang dinyatakan dalam Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Biarpun WWF-Malaysia adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan bukan agensi penguatkuasaan, namun pihaknya akan membantu pihak berkuasa untuk memerangi isu pemerdagangan hidupan liar dengan memberikan maklumat sekiranya menemui haiwan liar (mati atau hidup) yang dijual, atau ada menerima aduan orang ramai.
“Bagi kita di Sarawak, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) adalah agensi penguat kuasa di negeri ini yang diamanahkan untuk melindungi kepelbagaian biodiversiti dan hidupan liar termasuk mengadili individu yang melakukan kesalahan.
“Namun demikian, setiap orang dalam masyarakat hinggalah NGO serta media memainkan peranan penting dalam melindungi biodiveristi dan hidupan liar ini,” ujarnya lagi.
Orang ramai boleh menjadi mata dan telinga kepada pihak penguatkuasa dan mereka boleh menghubungi talian hotline SFC sekiranya mereka berjumpa dengan individu yang menjual hidupan liar sama ada mati atau hidup.
Talian hotline berkenaan ialah 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu) dan 019-8290994 (Miri).
