Lindungi, kasihi anak-anak

KUCHING: Setiap ibu bapa diingatkan agar tidak menjadikan anak-anak sebagai tempat melampias emosi yang berkecamuk sehingga mengakibatkan mereka didera dan dibunuh.

Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, kanak-kanak merupakan insan yang lemah. “Kita sebagai orang dewasa, lebih-lebih lagi bergelar ibu bapa harus mencorak dan membimbing mereka untuk menjadi manusia berguna

. “Mereka juga perlu dilindungi dan diberikan kasih sayang yang secukupnya. “Justeru sebagai ibu bapa, apaapa jua masalah yang dihadapi hendaklah ditangani dengan baik.

“Jangan sesekali menjadikan anak sebagai pelampias emosi yang berkecamuk,” katanya dalam ciapan di Facebook baru-baru ini. Beliau kesal dengan kematian seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai didera di Melaka, baru-baru ini.

Mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menggesa semua ibu bapa agar mencari penyelesaian terbaik sekiranya tidak mampu untuk menjaga anak masing-masing bukan sahaja aspek kewangan malah sudut lain.

“Saya berdoa semoga semua kanak-kanak di dunia ini dilindungi dan dipelihara oleh Allah SWT selalu,” ujarnya yang juga Penasihat di Pejabat Ketua Menteri.

Jumaat lalu gempar seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka.

Suara Sarawak