Liputan air bersih menjelang 2025

LONG SERIDAN: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha membekalkan air bersih ke seluruh negeri termasuk kawasan terpencil di luar bandar.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia untuk memastikan sasaran membekalkan air bersih ke seluruh negeri dapat dicapai menjelang tahun 2025.

Menurutnya, antara usaha Kerajaan Sarawak untuk merealisasikan sasaran ini adalah menerusi Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas).

“Kawasan terpencil atau sukar dihubungi dengan sistem bekalan air sedia ada akan disediakan sistem sendiri mengikut kesesuaian sesuatu tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pendidikan dan Kesedaran Sawas di Rumah Panjang Asal Long Seridan semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) menjelaskan, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM2.8 bilion untuk melaksanakan 322 projek bekalan air di kawasan tumpuan seluruh negeri.

“Ini adalah usaha kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri untuk memastikan setiap rumah dari selatan ke utara dibekalkan dengan air bersih,” ujarnya.

Menurutnya, kunjungan ke Long Seridan adalah untuk menilai kembali projek Sawas yang telah diperkenalkan sejak tahun lepas.

“Kita hendak tahu impak dan keberkesanan projek ini kepada masyarakat,” katanya lagi.

Katanya, sebanyak 22 kampung dan rumah panjang di seluruh negeri lokasi dalam Fasa 1 projek perintis Sawas pada 2018.

“Fasa 2 akan dimulakan pada tahun ini di 56 pedalaman di seluruh negeri dan dilaksanakan oleh JBALB,” tambahnya.

Turut hadir Timbalan Speaker Dun Sarawak yang juga Adun Mulu Datuk Gerawat Gala dan Pengarah JBALB Chang Kuet Shian.

Suara Sarawak