SELEPAS 12 tahun, pada 1 April lalu, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang melepaskan peranannya sebagai pengerusi majlis tersebut.
Ia bukan keputusan yang mudah bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang itu, kerana jawatan itu amat sebati dengan dirinya. Namun beliau perlu akur akan keputusan ketuanya, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Kui Hian juga merupakan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang secara harafiah, mempunyai kata putus siapa yang hendak diangkat ke kerusi tersebut; yang sebelumnya dikenali sebagai Majlis Daerah Luar Bandar Kuching.
Majlis ini diwujudkan pada penghujung tahun 1956 di bawah Ordinan Kuasa Tempatan 1948.
Pada 1 Ogos 1996, majlis ini telah dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Padawan oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Dalam video yang dikongsikan menerusi akaun Facebooknya, Khere Chiang meraikan hari terakhirnya dengan cukup terhormat.
Duduk di kerusi kerjanya sambil mengumumkan hari dan saat terakhir berkuasa di atas kerusi tersebut.
Beliau pantas bangkit, menutup lampu dan berjalan menuju ke luar pintu dengan langkah perlahan.
Beliau kemudian berjabat tangan dengan barisan kakitangan yang berbaris menunggunya di luar pejabat; baik mereka yang berjawatan kanan mahupun kakitangan rendah.
Ada yang mengambil kesempatan untuk berswafoto, tidak kurang yang mengesat air mata. Khere Chiang diingati kerana personalitinya.
Perwatakannya yang sentiasa merendah diri dan bersuara lembut. Jarang untuk kita melihat beliau meninggikan suara, biarpun marah.
Namun ketegasan tampak pada wajahnya – yang sentiasa serius dan tersenyum.
Kepada penulis, lelaki yang memiliki latar pendidikan sebagai jurutera ini cukup istimewa.
Saya mengenalinya ketika beliau tidak ada sebarang jawatan di dalam parti.
Beliau diperkenalkan kepada saya lebih 20 tahun dahulu oleh Timbalan Menteri Kerja Raya waktu itu, Datuk Yong Khoon Seng.
Mantan Ahli Parlimen Stampin itulah yang menjadi guru dan idola kepada Khere Chiang, dan pernah berbisik kepada saya bahawa anak muda itulah yang akan menggantikannya di kawasan tersebut.
Benar, kawasan Stampin dan Batu Kawah merupakan kubu kuat DAP selepas era Khoon Seng.
Namun Khere Chiang yang diangkat sebagai calon untuk Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Kitang tidak menghadapi masalah untuk menang.
Alasannya, kerana beliau seorang yang matang, tenang dan jujur.
Beliau jarang mengambil kesempatan daripada jawatannya, baik sebagai Adun mahupun Pengerusi MPP.
Rumahnya yang terletak di kawasan perumahan di Batu Kawa cukup sederhana, tidak mencerminkan rumah seorang Adun, sama seperti mentornya, Khoon Seng.
Malah berlaku sedikit hakisan di antara parit dan pagar rumahnya – mencerminkan betapa beliau cukup memelihara integritinya.
Sebagai seorang yang sederhana, beliau juga sentiasa bersederhana dari sudut politik.
Beliau tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan jawatan malah sentiasa mendahulukan ketuanya berhubung apa jua isu.
Pada pilihan raya umum yang lalu, beliau tidak bersetuju dengan penulis apabila diberitahu, tinjauan dan kajian mendapati beliau mendahului sebagai calon potensi menang di kawasan tersebut.
“Kawan, saya tidak mahu komen.
Saya follow arahan ketua saya, Datuk Sri Dr Sim. Kalau dia kata bukan saya, maksudnya bukan saya,” katanya dengan nada perlahan.
Beliau bukan seorang yang gila kuasa ataupun menganggap dirinya sebagai terlalu berkuasa.
Pernah beberapa tahun dahulu, penulis menghantar mesej WhatsApp kepadanya apabila salah seorang kakitangannya memuat naik dalam Facebook akan permohonan maaf terhadap salah lapor di dalam akhbar ini (ketika itu penulis merupakan Editor Eksekutif).
Beliau memohon maaf kepada penulis dan segera mengarahkan muat naik status itu dipadamkan.
Sebagai Adun, Khere Chiang juga seorang yang cukup sensitif dan santun.
Beliau sentiasa mengutamakan rakyat dan tidak mampu untuk melihat keperitan mereka.
Beliau pantas membantu jika diminta, dan paling menarik, beliau boleh berbuka puasa dan bersahur dengan rakyat di kawasan dan kakitangannya di MPP.
Beliau juga memiliki beberapa pasang baju Melayu dan jubah, bagi membolehkannya menghadiri majlis-majlis yang berkaitan dengan keagamaan.
Khere Chiang pernah masuk masjid?
Pernah.
Beliau tidak kekok diundang untuk mendampingi rakyat, walau di rumah ibadat mereka.
Kerana itulah, Khere Chiang amat diingati dan dihargai rakyat.
Dan kerana itulah beliau sentiasa menang dan menjadi calon berpotensi menang di kerusi Dun Batu Kitang.
Beliau mungkin sahaja kalah di kerusi Parlimen Stampin pada pilihan raya umum yang lalu, namun ia bukan ukuran mengambil kira banyak analisis terhadap sentimen kawasan tersebut yang didominasi oleh masyarakat Cina.
Terima kasih Khere Chiang atas khidmat cemerlang selama 12 tahun di MPP.
Kini beliau boleh fokus kepada kawasannya, biarpun dari segi ukuran pengalamannya, beliau sepatutnya sudah duduk di kementerian berstatus timbalan menteri.
Kini cabaran terpikul di bahu Cr Tan Kai.
Tan Kai merupakan bekas Ketua Pemuda SUPP, yang pernah bertanding di Dun Padungan.
Beliau juga merupakan calon pilihan Kui Hian untuk bertanding di kerusi Parlimen Stampin, namun analisis terakhir Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunjukkan Khere Chiang lebih sesuai dan berwibawa.
Justeru meletakkan Tan Kai di kerusi MPP adalah cara terbaik untuk mempersediakan beliau sebagai calon Parlimen Stampin lima tahun akan datang.
Beliau perlu bijak menggunakan kesempatan ini untuk mendekati dan menyantuni rakyat di parlimen tersebut.
Beliau juga perlu bijak menangani lebih 350 ribu penduduk di kawasan ini, yang memiliki rencam budaya dan agama.
Ia bukan tugas mudah, namun beliau perlu merendah diri.
Watak dan seri muka beliau harus berubah, tidak lagi seperti Tan Kai sekarang.
Beliau harus belajar daripada Khere Chiang bagaimana untuk menunjukkan keikhlasan dan menuntut daripada Khoon Seng akan cara untuk menjalinkan kemesraan.
Ia tidak mudah, namun beliau harus bermula awal.
Bukan mudah untuk mengisi kasut besar Khere Chiang, yang sentiasa membuka pintu untuk apa-apa jua permasalahan.
Namun itulah yang perlu Tan Kai lakukan, atau beliau akan menjadi tidak relevan kepada rakyat.
Kini adalah masa terbaik untuk mendekatkan diri dengan rakyat kerana kesemua kerusi di Parlimen Stampin milik GPS manakala Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen seharusnya tidak lagi mewujudkan onar atau bersikap pesimis kerana beliau kini merupakan salah seorang daripada pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan – dengan GPS merupakan antara parti utama dan dominan.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.
