
KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Stampin, Lo Khere Chiang menegaskan akan menyuarakan penubuhan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) baharu di kawasan tersebut demi meningkatkan bidang pendidikan.
Tegasnya, perkara tersebut antara perkara yang gagal dilaksanakan oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) semenjak memegang kerusi Parlimen Stampin.
“Saya akan memperjuangkan autonomi pendidikan Sarawak yang ditinggalkan oleh DAP.
“Inilah perkara yang masyarakat kita mahu dan inilah perkara yang saya boleh lakukan serta perjuangkan di Stampin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekarangan Pusat Beli Belah Aerovile, malam tadi.
Tambah Lo, GPS telah berjaya mengubah beberapa kemudahan khususnya dari segi pembangunan infrastruktur kesihatan yang diketuai sendiri oleh Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
“Hari ini kita telah nampak banyak pembangunan yang berlaku di Batu Kawa dan Batu Kitang dan menjelang lima tahun akan datang kita akan menyaksikan pembangunan besar di Kota Sentosa.
“Sudah tiba masanya kita mengambil alih Parlimen Stampin daripada DAP untuk membawa lebih banyak harapan dan keceriaan kepada masyarakat di sini,” katanya.