ARTIKEL

Pengurangan pekerjaan turut menjejaskan LONGi Kuching Sdn Bhd.

Longi laksana rancangan cantas ribuan pekerjaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Beberapa hari lepas, Bloomberg melaporkan syarikat pembuatan solar terbesar di dunia dari China, Longi Green Energy Technology Co. Ltd, sedang berusaha untuk memberhentikan hampir satu pertiga kakitangannya bagi mengurangkan kos dalam industri yang mengalami kapasiti berlebihan dan persaingan sengit.

Bloomberg memetik beberapa orang yang tahu tentang perkara itu, termasuk mereka yang mendengar taklimat daripada pihak pengurusan kanan, tetapi enggan dinamakan kerana rancangan itu tidak diumumkan secara terbuka.

Menurut mereka, Longi merancang untuk mencantas sebanyak 30 peratus daripada tenaga kerjanya yang berjumlah sekitar 80,000 orang pada tahun lepas.

Langkah itu menandakan usaha untuk mempercepatkan pengurangan pekerjaan yang dimulakan oleh Longi pada November tahun lalu, apabila ia mula memberhentikan ribuan pekerja yang kebanyakannya pelatih pengurusan dan pekerja kilang, selepas pengembangan pesat selama bertahun-tahun dalam industri solar global.

Ia tidak jelas berapa ramai pekerja yang telah diberhentikan sebelum keputusan terbaharu dibuat.

Namun demikian, Longi menepis dakwaan bahawa ia akan mengurangkan 30 peratus daripada kakitangannya, sesuatu yang ia anggap sebagai tidak benar.

Sebaliknya, menurutnya dalam satu kenyataan, pengurangan hanya membabitkan kira-kira lima peratus sahaja daripada jumlah pekerja keseluruhan.

Baca lain  Kedai kopi tingkatkan imej Sarikei

Sektor solar berdepan dengan “persekitaran yang semakin kompetitif”.

“Untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran dan menambah baik kecekapan organisasi, Longi sedang mengoptimumkan tenaga kerja kami,” kenyataan itu menyebut.

Bukan Longi sahaja yang terjejas.

Industri solar China mendominasi pembuatan global tetapi terjejas akibat pemberhentian pekerja dan pelan pelaburan yang digantung sejak beberapa bulan lalu.

Pekilang terpaksa menjual pada kos pengeluaran atau lebih rendah selepas harga panel solar jatuh ke tahap terendah pada tahun lepas.

Kesudahannya ialah sebuah industri yang dilihat amat penting dalam peralihan tenaga global daripada bahan bakar fosil kepada tenaga bersih sedang mengalami kapasiti berlebihan, konsolidasi, dan kemungkinan kebankrapan.

Persaingan sengit juga memaksa banyak syarikat yang membuat ‘wafer’ – bentuk awal panel solar yang disambung ke dalam sel atau bateri dan dipasang menjadi modul – untuk mengurangkan pengeluaran.

Longi, pengeluar ‘wafer’ utama, terpaksa mengurangkan harga dengan ketara pada tahun lepas.

Menurut beberapa orang berkenaan, kakitangan Longi telah menyaksikan kegagalan usaha sebelum ini untuk mengurangkan kos, termasuk pembatalan minuman teh petang percuma serta bajet yang mengecil bagi lawatan perniagaan, selain diarah untuk membuat cetakan hitam putih sahaja kalau tiada kelulusan daripada penyelia untuk melakukan cetakan berwarna.

Baca lain  JKM hulur sumbangan kepada golongan memerlukan

Menurut dua orang berkenaan, pejabat Longi di Shanghai juga telah berhenti menyediakan kopi percuma.

Di tengah-tengah kebimbangan dalaman tentang kehilangan pekerjaan dalam kalangan pekerja biasa, syarikat itu pada hujung tahun lepas memadamkan satu fungsi dalaman di mana pekerja dapat melihat jumlah kakitangan, kata beberapa orang berkenaan.

Selain isu-isu kapasiti berlebihan dan persaingan, Longi dan industri itu juga berdepan dengan masalah lain.
 
Beberapa pekilang China menyaksikan eksport mereka ke Amerika Syarikat (AS)
ditahan ekoran dakwaan tentang buruh paksaan di wilayah Xinjiang, China, yang berulang kali dinafikan oleh Beijing.

Longi menyaksikan usaha samanya di Ohio, AS yang ia bina bersama rakan kongsi tempatan, menghadapi tentangan selepas ketegangan politik di antara Beijing dengan Washington meruncing.

Bagi Longi, tekanan kewangan menyebabkan pendapatan bersih menjunam 44 peratus kepada 2.52 bilion yuan (RM1.64 bilion) dalam suku ketiga 2023.

Presiden Longi, Li Zhenguo, berkata pada Oktober tahun lepas bahawa syarikat itu “membuat satu kesilapan” apabila ia tidak cukup agresif dalam persaingan harga dengan syarikat lain, dan kemungkinan tidak dapat mencapai sasaran penghantaran tahunan.

Baca lain  Aset rizab rasmi Malaysia RM542b

Saham syarikat itu sudah jatuh kira-kira 70 peratus daripada harga tertingginya pada 2021.

Pekerja yang meninggalkan Longi baru-baru ini selalunya dipecat secara langsung atau berhenti selepas dipindahkan ke jawatan lain yang mereka tidak dapat terima, manakala kilang yang menggunakan teknologi lama telah menyaksikan lebih banyak pengurangan pekerjaan berbanding unit lain.

Walaupun demikian, industri solar di China mungkin akan menyaksikan kebangkitan pada hujung 2024, dengan margin yang meningkat pada 2025 berdasarkan “konsolidasi yang semakin pantas” serta imbangan yang lebih baik di antara bekalan dan permintaan, menurut satu analisis oleh Bloomberg Intelligence. 

Longi dijangka berada pada kedudukan yang baik untuk menangani pergolakan itu.

Selain menjadi perintis pasaran, syarikat itu mempunyai AS$7.4 bilion (RM34.67 bilion) dalam bentuk wang tunai dan bersamaannya pada hujung 2022, menurut pemfailan syarikat dan perbandingan dengan syarikat lain yang dikenal pasti oleh Bloomberg Intelligence.

NOTIS TENDER

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

AMBIL SERIUS LUAHAN PETUGAS KESIHATAN – CUEPACS

KUALA LUMPUR: CUEPACS menggesa kerajaan supaya melakukan siasatan menyeluruh mengenai isu kekurangan doktor dan petugas kesihatan di beberapa hospital kerajaan ketika ini. Presidennya Datuk Dr