Trending

Lonjak potensi ekonomi daerah

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BINTANGOR: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak meluluskan pembinaan Taman Mini Perindustrian dalam usaha melonjak potensi ekonomi daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kewujudan banyak aktiviti akan berlaku di kawasan berkenaan sekali gus menyediakan peluang ekonomi baharu kepada penduduk.

Ujarnya, lokasi pembinaan akan melibatkan kawasan seluas enam hektar di Jalan Pasi terletak berhampiran Jambatan Merah.

“Pembinaan taman perindustrian ini sangat penting kerana banyak aktiviti akan berlaku di kawasan ini termasuk penghasilan makanan dan minuman.

“Kita berharap kewujudannya nanti bukan sahaja membantu petani tetapi juga usahawan kecil,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata, selain infrastruktur asas, kementerian itu juga bercadang membina anjung usahawan bagi menyokong usahawan tempatan dengan kemudahan seperti pusat pemprosesan, kios, inkubator, gerai makan dan kawasan acara awam.

Sehubungan itu katanya, penyertaan penduduk dan kerjasama agensi berkuatkuasa tempatan amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek berimpak tinggi itu berjalan dengan sempurna. 

“Projek ini diluluskan oleh Kerajaan Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Sudah pastinya, ini satu berita yang amat menggembirakan bagi penduduk di kawasan DUN Meradong,” katanya. 

Dalam pada itu, Kuong Hiing melakukan kunjungan ke atas sebanyak 176 buah rumah panjang di kawasannya sempena sambutan Gawai.

Ia merupakan sebahagian tradisi pemimpin itu setiap sambutan Gawai sebagai pendekatannya untuk mendampingi rakyat sambil menyelami masalah mereka. 

Sehubungan itu Kuong Hiing mahu masyarakat rumah panjang terus bersatu dan memberi sokongan terhadap usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan. 

“Saya menggesa semua tuai rumah sebagai pemimpin akar umbi mengadakan perbincangan bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam merancang aktiviti di kawasan masing-masing,” katanya. 

Hadir sama, Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Chieng Born Ong dan setiausahanya Lau Sie Hing.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru