Lori bawa lebih had muatan sasaran Op Kenderaan Perdagangan

BAU: Sebanyak 44 kenderaan dipercayai melakukan kesalahan trafik dikenakan saman dan kompaun Trafik Pol.257 hasil operasi pemeriksaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Bau, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, operasi melibatkan tiga lokasi berbeza termasuk Jalan Bau-Kuching, Jalan Bau-Batu Kawa dan Jalan Tasik Biru bermula jam 9.30 pagi sehingga 5.25 petang.

Tegas beliau, aktiviti kawalan dijalankan bagi mengesan pemandu-pemandu lori yang membawa batu secara berbahaya dan melebihi muatan daripada had yang telah ditetapkan serta kesalahan trafik yang lain.

“Sebanyak 107 buah kenderaan merangkumi 21 buah kenderaan jenis motosikal, motokar 25 buah, lori (50), van(6), dan lain-lain sebanyak lima buah telah diperiksa sepanjang operasi.

“Hasilnya, sejumlah 44 keping saman/kompaun Trafik Pol. 257 telah dikeluarkan ke atas pesalah-pesalah trafik bagi pelbagai kesalahan semasa operasi dijalankan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, antara kesalahan dikenalpasti termasuk membawa muatan berbahaya, ubah suai struktur peralatan, gagal tunjuk lesen memandu, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, penumpang melebihi had, dan lain-lain kesalahan.

Poge turut menegaskan bahawa operasi tersebut akan terus dijalankan untuk memastikan pengguna jalan raya di laluan Bau Kuching dalam keadaan selamat serta mengurangi kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama daripada pihak awam agar sentiasa mematuhi keselamatan dan peraturan-peraturan semasa memandu atau berada di jalan raya.

Suara Sarawak