
BINTULU: Sebuah lori tangki membawa muatan 22,000 liter petrol dan diesel 6,000 liter musnah 40 peratus dalam kejadian kebakaran di Kilometer 31 Jalan Pesisir Samalaju berhampiran Ladang Sime Darby, di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak menerima panggilan mengenai kejadian pada 7.42 pagi.
Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong, Samalaju dan Bintulu dengan kekuatan 14 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati terdapat sebuah lori tangki minyak dengan muatan petrol Primax 5 (22, 000 liter) dan diesel (6,000 liter) terbakar 40 peratus di bahagian tangki belakang.
“Terdapat lima petak muatan minyak dalam satu tangki. Dua tangki paling belakang telah terbakar 100 peratus manakala empat petak hadapan dapat diselamatkan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, pasukan membuat pemadaman dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dua nozel air dari jentera dengan nozel pertama bertindak sebagai penyejuk dan nozel kedua (FB5X) media pemadaman mengunakan buih.
Kerja-kerja pemadaman dapat dikawal pada jam 10.35 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 11:15 pagi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.