KUCHING: Sebuah lori lima tan terbabit kemalangan selepas hilang kawalan dan terjunam ke dalam parit di Jalan Batu Kawa-Matang, semalam.
Menurut pemandu, Ahyie, 24, lori itu dipercayai hilang kawalan ketika dalam perjalanan pulang dari Sukma ke Batu Kawa.
“Kemalangan berlaku kira-kira jam 5.40 petang semasa saya dalam perjalanan menghantar lori ini ke Batu Kawa.
“Saya berasa cemas apabila lori yang dipandu hilang kawalan lalu terjunam ke dalam parit, namun saya bersyukur kerana kemalangan ini tidak melibatkan orang awam,” katanya kepada Suara Sarawak.
Usaha membawa naik lori tersebut dilakukan oleh syarikat kontraktor itu sendiri menggunakan kren 25 tan kira-kira jam 7 malam.
Dalam pada itu, usaha membawa naik lori tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas dua hala laluan jalan raya di Jalan Batu Kawa-Matang.
“Usaha membawa naik lori ini agak sukar kerana keadaan parit yang agak dalam dan persekitaran yang gelap, kami memerlukan banyak sumber cahaya untuk memastikan ia berjaya dibawa naik,” kata salah seorang pekerja yang membantu membawa naik lori tersebut.
Bagaimanapun, lori tersebut berjaya dibawa naik sekitar jam 9.30 malam dan kerja-kerja pembersihan jalan tamat pada jam 10.25 malam.
Pemandu tersebut dilaporkan selamat dan hanya mengalami trauma atas kejadian itu.
