Lori melebihi had: Keselamatan pengguna terancam

IGAN: “Sikap acuh tak acuh” syarikat konglomerat kelapa sawit di kawasan Dun Jemoreng sekali lagi menimbulkan kegusaran penduduk yang menggunakan perkhidmatan feri di sini. Banyak lori yang mengangkut kelapa sawit dilaporkan membawa muatan melebihi had yang ditetapkan menaiki feri di Muara Batang Igan.

Ini kerana, paras muatan melebihi tahap yang dibenarkan, sehingga mencecah ke bumbung feri. Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya menerusi laman Facebooknya, menzahirkan rasa kesalnya terhadap perkara tersebut.

Beliau berharap pihak berwajib mengambil tindakan kerana ia melibatkan soal keselamatan. “Sudahlah lebih muatan, bayar RM1 sahaja, berebut pula dengan penduduk untuk naik feri… syarikat sawit ini jauh lebih daripada mampu memiliki feri mereka sendiri.

“Memohon pihak yang jaga feri ambil berat soal keselamatan dan peraturan yang sedia ada. Kerajaan sudah berbelanja besar untuk kemudahan ini,” katanya dalam status yang dimuat naik dalam Facebooknya.

Juanda turut mempersoalkan kewajaran notis yang diletakkan di dalam feri berkenaan yang jelas memperlihatkam tiada penguatkuasaan dibuat meskipun peraturan diwujudkan.

“Status sebegini sudah banyak kali ditulis. Nampaknya pihak yang diberi kuasa dan penguatkuasaan umpama melepas batuk di jamban,” coretnya lagi.

Ketika dihubungi Suara Sarawak mengenai perkara ini, Juanda memberitahu, pihak penguat kuasa antaranya JPJ, JKR serta pihak feri operator perlu bertindak proaktif dengan perkara tersebut.

“Pihak syarikat konglomerat tersebut sepatutnya memberi arahan yang betul kepada pekerja lori agar tidak membawa muatan yang lebih dan pihak feri juga tidak boleh membenarkan lori lebih muatan memasuki feri,” tegasnya.

Suara Sarawak