Lori sampah terbakar depan PGA Miri

MIRI: Tiga lelaki terselamat apabila lori sampah yang dinaiki terbakar di hadapan kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi tadi, pemandu berhenti di tepi jalan selepas menyedari berlaku kebakaran pada lori dan cuba memadam api tersebut sebelum letupan berlaku.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, sepasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 7.40 pagi.

“Sebaik tiba, api sudah marak dan kita segera memadamkan kebakaran yang mengambil masa 26 minit.

“Kejadian itu mengakibatkan lori sampah berkenaan musnah 50 peratus,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Menurutnya, seorang mangsa dilaporkan cedera ringan manakala dua lagi tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Difahamkan, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Suara Sarawak