Lori treler seludup sayur-sayuran luar negara tanpa permit ditahan

BANYAK… Sejumlah 3,462 Kilogram sayur-sayuran import tanpa cukai berjaya ditemui di dalam sebuah treler yang ditahan ketika bergerak daripada pelabuhan Bintulu di Jalan Bintulu-Miri

MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) Sarawak menahan sebuah lori treler kontena berukuran 40 kaki dipercayai cuba menyeludup masuk sejumlah 3,462 Kilogram sayur-sayuran import tanpa cukai Kastam di pelabuhan Bintulu, Selasa lalu.

Pengarahnya, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, kenderaan terbabit berjaya ditahan oleh sepasukan JKDMS Miri setelah didapati cuba bergerak dari arah Jalan Bintulu-Miri sekitar jam 10 pagi.

Menurutnya, ketika ditahan pemandu treler tersebut yang merupakan warga tempatan gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan muatan barangan sebelum diarahkan membawa lori itu ke Stor Penguatkuasaan Miri untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan bersama wakil syarikat pengimport mendapati terdapat lapan jenis sayuran tidak diikrarkan di dalam borang Kastam 1.

“Kesemua sayuran tersebut yang dianggarkan seberat 3,462 Kg melibatkan nilai sebanyak RM53,369.15 dan jumlah duti cukai dianggarkan bernilai RM5,717.46 telah dirampas,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai sebanyak RM59,086.61.

Dedahnya, syarikat pengimport itu didapati telah mengimport sayur-sayuran berkenaan dari luar negara dan bertindak mengikrarkan sayuran terbabit dalam borang 1 Kastam.

“Namun setelah diperiksa terdapat sejumlah besar tidak diikrarkan seperti yang tertera pada borang tersebut.

“Kita percaya sayuran itu adalah untuk memenuhi permintaan pembekal dan pelanggan tempatan,” tambahnya lagi.

Susulan itu, katanya, kes kini dalam siasatan di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 di mana jika didapati bersalah individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.