Lot kediaman lebih selesa

SARIKEI: Dasar baharu skim pembesaran kampung yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak menyediakan lot kediaman lebih selesa kepada rakyat.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, melalui usaha itu, kerajaan melaksanakan pembangunan lebih terancang bagi meringankan beban penduduk selain persekitaran yang lebih kondusif dan selesa.
Tidak sekadar itu katanya, ia juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air serta bekalan elektrik.
“Usaha bersepadu kerajaan ini memberi impak besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang.
“Ini juga membuktikan kerajaan peka dengan keperluan rakyat dan sentiasa melaksanakan pendekatan terbaik untuk mereka,” katanya pada majlis penyerahan Lot Kediaman Skim Pembesaran Kampung di Selalang.
Seramai 84 penduduk menerima lot kediaman masingmasing dalam majlis yang diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Selalang itu.
Skim pembesaran Kampung Selalang menyediakan sebanyak 152 lot kediaman dan daripada jumlah itu, kerajaan meluluskan sebanyak 84 lot.
Sebahagian daripadanya sudah diberikan kepada penerimanya baru-baru ini manakala sebanyak 42 lot lagi akan diserah dalam masa terdekat, sementara baki lot yang belum diperuntukkan adalah sebanyak 68 lot.
Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab; Pegawai Daerah Sarikei Christopher Ranggau; Penguasa Tanah dan Survei Sarikei Thian Choon Kui; Penghulu Amir Kupon dan Penghulu Bidai Ngisang turut hadir.