KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak memandang serius usaha untuk mencari penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan risiko banjir sebelum Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak disiapkan.
Pengerusi LPKP Sarawak, Michael Kong Feng Nian, berkata perkara ini juga merupakan antara isu yang diberi penekanan semasa mesyuarat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak.
Menurutnya, walaupun JPS telah memberikan beberapa kemas kini, masih terdapat keperluan bagi pelibatan yang lebih konstruktif dan tindakan segera dalam menangani kebimbangan yang timbul dengan lebih berkesan.
“Saya juga telah meminta JPS Sarawak berkongsi maklumat terperinci tentang kawasan yang terdedah kepada risiko banjir di sepanjang laluan bas di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) dan Sarawak Metro.
“Data seperti ini penting untuk membolehkan pihak berkepentingan mengambil tindakan proaktif bagi menangani risiko banjir yang berpotensi, dan memastikan kelancaran operasi pengangkutan awam,” menurutnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kebimbangan awam juga telah dibangkitkan tentang isu saliran berhampiran dengan kerja-kerja projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang sedang dijalankan, terutamanya di sepanjang Jalan Lapangan Terbang Kuching.
Katanya, pihaknya menghargai komitmen Sarawak Metro untuk memastikan kontraktor mengambil langkah proaktif bagi mengelak pengumpulan sampah yang boleh memburukkan lagi banjir di kawasan tersebut.
“Bergerak ke hadapan, saya menggesa JPS Sarawak mengamalkan pendekatan yang lebih proaktif dan telus ketika berhubung dengan pihak berkepentingan, termasuk Ahli Parlimen dan wakil rakyat tempatan.
“Kemas kini berkala tentang kemajuan projek pengurangan banjir akan memberi kuasa kepada orang ramai dan wakil mereka untuk memperjuangkan sumber daya serta sokongan yang diperlukan pada semua peringkat kerajaan,” ujarnya.
Feng Nian juga memaklumkan bahawa keberhasilan pengangkutan awam di Kuching bergantung pada tindakan bersama yang tegas, termasuk dalam menangani masalah banjir kilat.
“Ia bukan sahaja tentang usaha melindungi infrastruktur, tetapi juga untuk membina keyakinan orang ramai terhadap sistem pengangkutan yang boleh dipercayai dan efisien.
“Isu ini mesti diberi keutamaan demi kebaikan semua penduduk di sekitar kawasan Kuching,” tegasnya.
Beliau memberitahu bahawa pihaknya juga sedang memantau dengan teliti pelaksanaan projek PLSB bernilai RM150 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kontraktor telah dilantik pada November 2023, dan projek ini sedang dijalankan dengan sasaran tarikh siap pada pertengahan 2026,” jelasnya.


