LPT3: Berita gembira untuk rakyat Kelantan

KOTA BHARU: Keputusan kerajaan pusat bagi meneruskan pelaksanaan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) adalah berita gembira buat rakyat Kelantan kerana ia dilihat mampu memberi impak pembangunan selain merancakkan pertumbuhan ekonomi kepada penduduk serta negeri.

Malah, dengan pelaksanaan projek lebuh raya itu juga membuktikan kerajaan tidak pernah menganaktirikan rakyat negeri ini seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.

Seorang guru, Rosnorhusna Abdul Rahman, 33, dari Kampung Baung, Pengkalan Chepa berkata beliau menyambut baik pelaksanaan lebuh raya berkenaan memandangkan keadaan lalu lintas di negeri ini semakin sibuk.

Katanya, dengan adanya rangkaian lebuh raya yang terbaik bagi menghubungkan negeri Kelantan dengan negeri luar itu dilihat sangat membantu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya ketika tempoh kritikal iaitu pada musim perayaan dan cuti umum.

“Setiap kali musim perayaan atau cuti umum, saya terpaksa mengharungi jalan raya yang begitu sesak dari Kota Bharu ke Terengganu sehingga ada ketika mencecah dua kali ganda kesesakan daripada perjalanan biasa.

“Disebabkan itu, saya berharap dengan adanya projek ini ia dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas untuk jangka masa panjang yang terpaksa diharungi oleh anak-anak Kelantan yang berhijrah ke negeri luar setiap kali pulang untuk beraya atau bercuti,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fikri Muhamed, 30, dari Rantau Panjang berkata pelaksanaan projek ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat yang menyeluruh kepada penduduk Kelantan sekali gus dapat mewujudkan limpahan ekonomi rakyat di Pantai Timur sekiranya laluan ini diteruskan.

“Saya pernah mendengar mengenai projek ini sebelum ini dan saya berharap agar ianya benar-benar dilaksanakan.

“Malah, saya juga yakin dengan pelaksanaan lebuh raya ini ia mampu merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih baik kepada penduduk di sepanjang laluan yang terlibat termasuk menjual dan memajak tanah mereka,” katanya.

Isnin lepas, Menteri Kanan Infrastruktur yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan telah meluluskan pelaksanaan pembinaan LPT3 dengan kos kerja-kerja awalan keseluruhan berjumlah RM35 juta selain kerja awalan projek tersebut telah bermula bulan ini dan dijangka siap April 2022.

— BERNAMA

Suara Sarawak