Lubok Tamang pelengkap agropolitan

DEBAK: Lubok Tamang merupakan salah satu kawasan terawal yang dicadangkan untuk pembangunan Taman Pertanian Saribas dan fasa pertamanya sudah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, ia sebahagian daripada program pembangunan pertanian bersepadu di Saribas yang akan menjadi pelengkap kepada projek Agropolitan Bukit Sadok dan Bakul Makanan di Bahagian Betong.

“Usaha tersebut dicadangkan kepada Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (Manred). “Dalam fasa pertama, kita mendapat kelulusan untuk membangunkan Lubok Tamang.

“Secara lebih terperinci, untuk membangunkan sektor pertanian di Saribas, ia melibatkan kolaborasi Jabatan Pertanian dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kalaka Saribas Betong,” katanya kepada Suara Sarawak selepas program dialog projek nanas di sini baru-baru ini.

Jelasnya, menerusi siri mesyuarat dengan pihak kementerian, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sebelum ini dan seperti yang dipersetujui kerajaan, kawasan tersebut akan ditanam kelapa, nanas, jagung bijirin serta beberapa komo-diti lain yang berpotensi.

“Selain itu, kita juga cuba menggiatkan bidang penternakan. “Sehingga kini sudah ramai dalam kalangan penduduk dari Kampung Tuie, Mangut, Supa dan Medang mendapat manfaat,” ujarnya.

Razi menambah, Kerajaan Sarawak kini dalam proses membina jalan baharu di kawasan tersebut (Lubok Tamang) yang akan memendekkan jarak perjalanan daripada 45 kilometer kepada hanya sembilan kilometer. Beberapa tahun lalu jelasnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan RM42 juta.

Untuk rekod, kerajaan sudah selesai membayar pampasan untuk satu kilometer pertama. Selepas ini katanya lagi, berdasarkan maklumat daripada pihak JTS, bayaran pampasan dua kilometer ke atas akan dilaksanakan pada bila-bila masa menjelang Mac depan.

Razi memaklumkan, dengan pembinaan jalan tersebut, secara tidak langsung tanah kerajaan di situ termasuk tanah NCR orang kampung dapat dibangunkan sebagai pusat pertanian.

Suara Sarawak