Lubuk buaya jadi lubuk memancing

KUCHING: Daripada sebuah tempat pengorekan pasir, lubuk buaya di Kampung Paya Mebi kini bertukar menjadi lubuk memancing.

Ini hasil daripada usaha Persatuan Nelayan Darat Lubok Buaya Kampung Paya Mebi, yang menaik taraf kawasan jeti di kawasan Sungai Sarawak Kiri berkenaan untuk dijadikan sebagai lokasi memancing.

Penasihat Persatuan Nelayan Darat Lubok Buaya Kampung Paya Mebi, Shamsudin Unai berkata inisiatif menaik taraf kawasan jeti itu bermula 14 Mac lalu dan kini hampir siap.

Ikan Patin yang berjaya ditangkap hasil daripada memancing di lubuk buaya Kampung Paya Mebi.

“Hasrat kami adalah untuk menjadikan kawasan lubuk buaya ini sebagai lokasi tumpuan memancing dan ia kini telah menarik ramai kaki pancing dari sekitar Kuching,” katanya ketika ditemu-bual.

Menurutnya, antara ikan yang terdapat di situ ialah semah, kaloi, tilapia, patin, baung, lampam jawa, belida termasuk udang galah.

Shamsudin menambah orang ramai yang datang memancing juga tidak perlu membayar apa-apa kerana ia adalah percuma.

Bagaimanapun, katanya bagi yang ingin pergi ke lokasi memancing yang lebih jauh, mereka boleh menyewa bot nelayan yang ada di situ.

“Orang ramai boleh datang memancing ke sini setiap hari dan ia adalah percuma,” katanya.

Pada masa sama, Shamsudin berkata selain memancing, orang ramai juga boleh beriadah di kawasan jeti berkenaan.

Katanya ia selaras dengan hasrat mereka untuk menjadikan tempat tersebut bukan sahaja sebagai lokasi memancing tetapi juga destinasi pelancong.

“Sambil memancing, orang ramai juga boleh menikmati pemandangan indah di tepi sungai terutama apabila waktu matahari terbenam,” katanya.

Shamsudin berkata orang ramai yang ingin datang memancing atau beriadah juga boleh menghubungi pengerusi Persatuan Nelayan Darat Lubok Buaya Kampung Paya Mebi, Ebby Fazree Zailani di talian 013-6960659.

Antara hasil tangkapan pemancing dari lubuk buaya Kampung Paya Mebi.

Antara hasil tangkapan pemancing dari lubuk buaya Kampung Paya Mebi.

Suara Sarawak