DADA tiba-tiba terasa sendat, jantung berdegup kencang dengan mata yang terpejam, saya tidak dapat menahan perasaan takut sebaik sahaja kapal terbang meluncur naik walaupun penerbangan Kuching ke Sibu mengambil masa tidak sampai 30 minit.
Minggu kedua Aidilfitri, saya balik ke Sibu empat hari. Sebenarnya, laluan udara Kuching-Sibu atau Kuching-Mukah, menjadi laluan kerap bagi saya sejak dulu lagi. Selain perjalanan yang singkat, ia juga perjalanan yang sangat selesa.
Harum bulak kata orang Sarawak, jika merokok tidak sampai setengah batang rokok sudah sampai. Tetapi sejak kejadian, saya menaiki penerbangan Kuching ke Mukah, pada Januari lalu saya menjadi manusia paling penakut sebaik kaki memijak tangga pelantar kapal terbang.
Pengalaman berdepan dengan penerbangan yang masuk dalam kantung udara atau air pocket menjadikan saya trauma pada usia sebegini. Minggu lalu, 10 minit sebelum masuk perut kapal terbang, saya berpeluh. Dada saya terasa laju. Jantung saya berdebar- debar. Percayalah, perasaan ini datang tanpa saya undang.
Jika takut mengapa saya menaiki penerbangan itu? Sebab saya mahu mencabar ketakutan dan trauma yang sudah memasuki empat bulan. Saya mahu macam dulu-dulu, saya tidak gentar dan takut. Benar kata orang, apabila takut, pelbagai perasaan lain yang menyusul.Saya cuba tolak bisikan jahat yang bertanya, bagaimana jika kapal terbang ini bermasalah, atau salah satu sayapnya bermasalah? Saya duduk di barisan tengah, di sebelah saya anak saya.
Saya genggam tangannya sebaik ia meluncur ke atas. Kerana sebelum membeli tiket, saya sudah melayari aplikasi ramalan cuaca. Saya ingatkan apabila mengambil penerbangan tengah hari, cuaca terus cerah. Rupa-rupanya saya silap, apabila tidak hujan kebanyakannya kita akan merempuh awan yang tebal menyebabkan sedikit goncangan.
Nasib saya tidak begitu baik, kami melanggar awan tebal walaupun pada skala kecil, tetapi boleh membuat jantung berdebar-debar. Goncangan udara bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia penerbangan. Apabila berlaku situasi seperti ini, biasanya juruterbang memaklumkan kepada penumpang. supaya mengekalkan pemakaian tali pinggang keselamatan bagi mengelakkan sebarang kecederaan.
Saat ia bergoncang, kita hanya nampak kabus dari tingkap pesawat. Saya terus pejam mata dan berpaut pada lengan anak saya dan saya dengar, dia berkata tiada apa-apa akan berlaku. Memang walaupun berlaku seminit dua, ia tetap membuat dada saya sempit.
Sebaik sahaja diumum akan mendarat, saya masih dalam keadaan takut. Ketika itu, saya mula tertanya- tanya apakah saya terkena serangan panik akibat trauma? Simptom seperti jantung berdegup dengan kencang, nafas menjadi sesak dan badan berpeluh yang datang secara mendadak.
Apabila saya bercerita dengan kawan, mereka bergurau ia fasa ke arah usia yang semakin tua. Sebenarnya, ia tidak berkaitan dengan usia kerana saya yakin perasaan takut dan bimbang melampau kerana saya sentiasa berfikir benda-benda yang menakutkan. Sebenarnya ia lebih kepada kecelaruan keresahan perasaan.
Sama ketika saya balik ke Kuching, jam 4.45 petang Isnin lalu. Cuaca yang sangat bagus, matahari memancar kemerahan. Hati saya tetap berdebar-debar ketika duduk di depan tingkap kecemasan. Saya mula berfikir yang bukan- bukan, mengapa saya diletakkan di tingkap itu.
Sedangkan, tempat duduk saya dipilih secara rambang tetapi saya mula berasa tidak enak menyebabkan saya minta tukar tempat duduk dengan alasan, tiada keyakinan untuk duduk di situ jika berlaku apa-apa kecemasan. Ditukar ke kerusi depan pun, saya masih takut.
Perasaan itu bukan saya minta, tetapi datang tanpa diundang. Ia seperti sakit yang tidak ada lebam, luka yang tidak berdarah — dalam bahasa mudah sakit yang tiada luka. Ia adalah gangguan emosi yang tidak menyenangkan. Saya tidak mahu ia terus mengganggu kehidupan saya pada masa akan datang kerana saya tetap akan naik pesawat untuk menemui keluarga saya yang berada di sana.
Ketika 15 minit penerbangan pulang, saya membuka mata dan merenung ke luar jendela. Saya melihat lautan, kami berada di bawah awan dan penerbangannya tidak berasa bergoncang walaupun sebenarnya, saya nampak minit ke- 20 kemudian, ia sedikit melanggar awan. Mengapa saya berasa sedikit tenang? Kerana saya berjaya membuang debaran jantung — walaupun sedikit tetapi saya dapat menarik nafas.
Ketika itu, saya teringat pesanan sahabat saya seorang guru — ketika perasaan takut itu datang, cabar diri untuk pecah tembok ketakutan, tenang. Sahabat yang saya ceritakan ini berjaya keluar daripada ketakutan selepas bertahun-tahun. Bukan dia yang minta untuk diserang kebimbangan melampau tetapi katanya, ia terjadi tiba-tiba.
“Orang tidak berasa takkan faham. Orang tengok saya sihat, tetapi dalam tak kuat. Ada ketika rasa macam nak mati,” ceritanya. Semalam apabila kami bermesej mengenainya, dia berseloroh — kini ketakutannya hilang selepas mendirikan rumah tangga kali kedua. Mungkin benar apa yang dia kata kerana apabila saya Google cara membuang ketakutan melampau, salah satunya jangan tidur berseorangan.
Anak bujang saya pernah terkena anxiety ketika tingkatan empat dan saya membawanya berjumpa pakar selepas kami perasan dia sangat takut dengan penyakit. Satu hari ketuat yang tumbuh di jari kakinya pun merunsingkan dengan menyangka ia kanser kulit. Semua jenis penyakit macam pening akan merunsingkannya walaupun sebenarnya ia sakit ringan.
Kini dia berusia 20 tahun dan menuntut di universiti awam, perasaan runsing melampaunya semakin hilang, walaupun sesekali ia datang tetapi tidak seteruk ketika dia di sekolah menengah. Jika mereka berjaya menyingkirkan perasaan takut itu, mengapa saya tidak boleh? Caranya, saya akan langgar tembok ketakutan itu dengan menaiki lagi kapal terbang pada masa akan datang. Saya yakin saya dapat, walaupun teringatnya sahaja sudah cukup mendebarkan.