KUCHING: Dua rakan baik masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melupus harta curi sebuah telefon dengan menjual ke sebuah kedai telefon, November lepas.
Tertuduh Za’afar, 39, dan Mohd Shahrul Nizam, 25, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama melupuskan harta curi sebuah telefon jenama Samsung milik seorang gadis berusia 22 tahun.
Mereka melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Kudei, Jalan Rubber Barat sekitar jam 2.45 pagi, 21 November lepas.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, pada 21 November lepas, sekitar jam 2.45 pagi, mangsa wanita sedang bertugas di kaunter sebuah hotel bajet di Jalan Tun Razak didatangi dua orang lelaki yang tidak dikenali.
Mangsa diminta menyerahkan sejumlah wang dan sebuah telefon pintar oleh kedua-dua lelaki terbabit dan sekiranya enggan berbuat demikian mereka hendak mencederakan mangsa.
Selain itu, salah seorang daripada mereka telah mengacukan sebilah pisau kepada mangsa. Akibat ketakutan mangsa menyerahkan wang tunai RM394 dan sebuah telefon pintar jenama Samsung miliknya.
Anggaran kerugian yang dialami mangsa RM794. Mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Pada 27 November lalu, Za’afar berjaya ditangkap oleh pihak polis di sebuah rumah di Taman Golden, Jalan Sungai Tengah sekitar jam 1.15 pagi.
Manakala, Mohd Shahrul berjaya ditangkap di sebuah kedai makan di Jalan Batu Kawa, sekitar jam 1 pagi, pada 1 Disember lepas.
Pada 28 November lalu, pihak polis telah membuat satu rampasan telefon pintar di sebuah kedai telefon di Jalan Samarak beserta sekeping resit rasmi atas nama seorang lelaki berusia 37 tahun kerana dipercayai telefon tersebut milik mangsa.
Hasil siasatan, mendapati kedua-dua tertuduh telah melupuskan harta curi milik mangsa dengan menjual kepada seorang lelaki. Pengecaman oleh pengadu kepada telefon pintar tersebut adalah positif.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.